Jabatan Air kompaun syarikat pembinaan curi air di Tawau

Jabatan Air kompaun syarikat pembinaan curi air di Tawau

Penguat kuasa Jabatan Air Tawau mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap sebuah syarikat pembinaan di Tanjung Batu dekat sini selepas didapati melakukan kegiatan mencuri air.

Jabatan Air Tawau dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya yang menjalankan siasatan mendapati syarikat tersebut menyambung air secara haram daripada paip utama ke rumah kongsi yang didiami pekerja syarikat terbabit.

“Satu penyambungan haram daripada stand paip berukuran dua inci yang disambungkan terus kepada 20 pintu rumah kongsi tersebut,” kata kenyataan itu di sini.

Menurut kenyataan itu lagi, kegiatan dilakukan syarikat terbabit dikesan 30 minit selepas operasi dimulakan pada 9.30 pagi tadi.

Susulan itu, Jabatan Air Tawau bertindak memotong sambungan haram tersebut ekoran pemilik syarikat melanggar Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.

Jabatan Air Tawau memohon kerjasama orang ramai agar melaporkan segera sebarang kes kecurian atau kebocoran pair air dengan menghubungi talian hotline Jabatan Air Tawau di 019-5354600 atau 089-761057.

— BERNAMA