Jabatan Audit laksana audit forensik di Kementerian Belia & Sukan

Jabatan Audit laksana audit forensik di Kementerian Belia & Sukan

Jabatan Audit Negara akan melakukan pengauditan forensik terhadap proses perolehan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi dibawahnya susulan laporan isu penyelewengan dananya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang supaya melakukan proses pengauditan itu, selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan penubuhan pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur kewangan dalaman KBS.

Pengauditan itu, antara lain, akan meneliti peraturan kewangan yang dipatuhi KBS selain mengenal pasti kelemahan prosedur kewangannya, kata Ali dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

“Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil pengauditan dan mengemukakan kepada kerajaan penambahbaikan yang perlu dibuat. Ini adalah seperti pengauditan forensik.

“Hasil siasatan akan dilaporkan kepada kabinet dan mesyuarat Ketua-Ketua Setiausaha. Kita harap dapat melaksanakannya dalam tempoh suku tahun,” kata Ali.

Pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Turut ditahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor syarikat penganjuran acara. Modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 adalah dengan menggunakan bahagian kewangan agensi di kementerian untuk membuat bayaran kepada 14 syarikat bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

Dalam sidang media di KBS hari ini, Khairy mengesahkan bahawa pegawai kementeriannya yang sedang disiasat SPRM berhubung isu penyelewangan dana itu.

Ali berkata Ketua Audit Negara juga diminta melihat proses keseluruhan pengauditan bermula dengan KBS sebelum langkah sama dilaksanakan secara rawak di kementerian lain, supaya tidak berlaku ketirisan dan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Ketua Setiausaha kementerian selaku ketua pengawal kewangan sepatutnya mengetahui perbelanjaan peruntukan kementerian kerana mereka bertanggungjawab terhadap perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi.

“Sepatutnya, beliau (KSU) harus tahu ke mana perginya wang itu. Kemudian, pembayaran projek dilakukan oleh pegawai di bahagian kewangan atau bahagian pembangunan.

“Itulah yang saya mahu tahu sama ada (laporan) itu kembali kepada pengawal kewangan (KSU) atau tidak. Kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Ditanya sama ada KSU dan bekas-bekas KSU di KBS perlu bertanggungjawab terhadap penyelewengan dana itu, Ali berkata: “Ia bergantung sama ada ia disalahgunakan atau tidak. Kita akan periksa. Kita tidak boleh buat kesimpulannya sekarang,” katanya.

Ali berkata suspek itu, yang ditahan SPRM, akan dikenakan tindakan penahanan kerja mengikut Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata prosedur perbelanjaan wang kerajaan akan diperketatkan dengan ketua setiausaha di setiap kementerian perlu meneliti setiap perbelanjaan.

Ketua Setiausaha akan melapor kepada Ketua Setiausaha Negara mengenai setiap perbelanjaan yang dilaksanakan, katanya semasa ditemui pada satu program di Kementerian Kewangan hari ini.

“Dengan perancangan yang rapi ini, saya harap tidak akan berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu bahawa langkah memperketatkan prosedur perbelanjaan wang kerajaan telah dibincangkannya dengan Ali.

Irwan Serigar turut mengingatkan penjawat awam bahawa arahan Perbendaharaan dan Pekeliling kerajaan mestilah sentiasa dipatuhi.

TAGS