Malaysia Dateline

Jabatan kerajaan, agensi wajar bentang pencapaian KPI 2018

Jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan wajar membentangkan pencapaian KPI masing-masing untuk tahun 2018, demikian menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata, perkara ini sangat penting bagi kerajaan menilai pencapaian jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan pada tahun 2018.

“Mana-mana jabatan dan agensi yang tidak mencapai KPI perlu membentangkan punca-punca kegagalan tersebut dan mereka mesti bertanggungjawab atas kegagalan tersebut,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Kerajaan pula katanya, mestilah meletakkan KPI baru untuk tahun 2019 bagi menjadi target dan panduan jabatan dan agensi melaksanakan kerja-kerja mereka.

Tambahnya, KPI baru ini mestilah boleh dicapai (achievable), realistik, spesifik dan relevan dengan tugas dan fungsi utama jabatan dan agensi berkaitan.

“KPI ini juga mesti berbentuk angka supaya ianya mudah dinilai dan dipantau status semasa,” katanya.

Pada masa yang sama Sofi berpendapat jabatan dan agensi ini mesti merancang gerakerja bagi mencapai KPI tersebut dan pihak kerajaan boleh memantau keberkesanan perancangan dan pelaksanaannya ke arah mencapai KPI masing-masing.

“Kerajaan mesti memantau status KPI jabatan dan agensi dari masa ke semasa untuk memastikan pencapaian semasa adalah ‘on track’ supaya di akhir tahun 2019 KPI mereka masing-masing dicapai.

“Selain dari jabatan dan agensi kerajaan saya juga mencadangkan kerajaan meletakkan KPI tertentu kepada MPKK. Antara contoh KPI untuk MPKK adalah 6 kali gotong-royong setahun, 3 program belia, 3 program wanita dan 3 program warga emas setahun serta lain-lain,” ujarnya.