Malaysia Dateline

Jabatan Kesihatan Selangor jawab isu Stadium Malawati sesak

Video yang tular berkenaan suasana di dalam Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam memaparkan kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan pesakit pandemik itu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor hari ini berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas kesesakan di pusat penilaian tersebut.

“Ini senario di CAC, mereka yang datang akan dibuat penilaian oleh petugas kesihatan sama ada mereka perlu dimasukkan ke hospital atau MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia) atau PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah) Swasta atau Home Monitoring,” katanya.

JKN Selangor turut mengingatkan bilangan kes positif di negeri itu dilaporkan meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini sekali gus menambah beban tugas di CAC Stadium Malawati.

“Di samping itu, kesesakan juga berlaku kerana adanya ujian RTK (Rapid Test Kit) adalah untuk saringan,” tambahnya lagi.

Sejak beberapa hari lalu, tular rakaman video menyaksikan ratusan individu beratur serta suasana di dalam CAC terbabit.

Dalam hal berkaitan, Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron CAC itu hanyalah tempat penilaian Covid-19.

Jelasnya, suasana di pusat saringan Covid-19 terbesar di Malaysia itu berlaku sejak pertengahan April lalu tetapi tiada pesakit ditempatkan di situ.

“Semua pesakit positif Covid-19 yang hadir akan terus dihantar ke hospital ataupun MAEPS dan juga sebahagian dibenarkan melakukan kuarantin di rumah dengan kawalan PKD,” lapor Harian Metro hari ini.

Menurut Ahmad Sayuti, pihaknya mendapati hampir 300 kenderaan pesakit Covid-19 yang dibawa ke hospital atau MAEPS berada di situ sejak beberapa minggu lalu.

DEFM adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawab menguruskan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), termasuk Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati.

Pada 8 Februari lalu, CAC Malawati secara rasmi menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 dan dianggarkan boleh memuatkan antara seramai 1,000 hingga 1,500 pesakit.