Malaysia Dateline

Jabatan Metereologi nafi ada kepala ribut menghala ke Malaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan dakwaan berkenaan “kepala ribut” yang sedang tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp.

MET Malaysia dalam kenyataannya menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MET Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

“Justeru kita ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut
sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu MET menegaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.