Malaysia Dateline

Jabatan Mufti Johor, Majlis Perbandaran Bentong perkasa tulisan Jawi

Beberapa keputusan memartabatkan tulisan Jawi muncul selepas negara digemparkan dengan dakwaan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bahawa sebanyak 1,118 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pertubuhan Cina tidak bersetuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi.

Di JOHOR, Muftinya, Datuk Yahya Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini mengumumkan perubahan waktu Subuh yang lewat lapan minit bermula tahun hadapan dalam tulisan Jawi.

Menurutnya, keputusan tersebut yang mengambil kira faktor kedudukan darjah matahari mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama Islam bagi negeri itu.

“Perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh negeri Johor ditambah lapan minit daripada waktu Subuh semasa berkuatkuasa 1 Januari 2020.

“Perubahan ini adalah berdasarkan ketetapan perubahan darjah kedudukan matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit fajar sadiq daripada 20 darjah kepada 18 darjah,” katanya.

Di PAHANG, Majlis Perbandaran Bentong telah mengeluarkan notis pemberitahuan mewajibkan tulisan Jawi di seluruh premis perniagaan mulai Januari 2020.

“Semua premis perniagaan di kawasan Majlis Perbandaran Bentong diwajibkan menggunakan tulisan Jawi di papan tanda dan papan iklan premis perniagaan.

“Pemilik premis yang gagal melaksanakan tulisan Jawi boleh dikompaun sehingga RM250 bagi setiap satu kesalahan,” dipetik dari notis yang tular itu.

Langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejajar dengan kedudukan Pahang di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung yang lazim dengan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan papan iklan premis perniagaan.

Rata-rata pengguna media sosial memuji kerajaan negeri dan PBT tersebut dalam memperkasakan tulisan Jawi.

Orang ramai menyifatkan langkah membudayakan tulisan Jawi dalam setiap urusan rasmi wajib menjadi contoh kepada seluruh negeri dan PBT lain selepas ini.