Malaysia Dateline

Jabatan Peguam Negara mohon batalkan saman pemula difailkan Mahathir

Jabatan Peguam Negara memohon untuk membatalkan saman pemula difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menuntut deklarasi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an tidak sah dan terbatal.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob berkata permohonan itu dibuat atas dua alasan iaitu Dr Mahathir selaku plaintif tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tindakan tersebut dan mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadap suruhanjaya berkenaan.

“Mahkamah tetapkan 19 April ini untuk pendengaran permohonan tersebut,” katanya yang ditemui pemberita selepas pengurusan kes itu di di kamar hakim Datuk Azizah Nawawi hari ini.

Mazlifah yang bertindak bagi pihak AGC berkata permohonan membatalkan saman pemula itu difailkan pada 19 Disember 2017.

Pada awal Disember 2017, pengerusi Pakatan Harapan itu memfailkan saman pemula dengan menamakan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ahli panel suruhanjaya iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K Pushpanathanan, Datuk Dr Yusof Ismail selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan jemaah menteri serta kerajaan sebagai defendan pertama hingga ke-9.

Dalam samannya, Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa mana-mana ”Laporan Siasatan Diraja” oleh mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah sekiranya mengandungi kesemua bahan ditampilkan pada keseluruhan prosiding suruhanjaya tersebut, termasuk kesemua penyata bertulis saksi yang dipanggil memberi keterangan pada prosiding RCI.

Beliau juga memohon deklarasi laporan suruhanjaya itu tidak sah dan/atau terbatal dan/atau tidak terpakai sama sekali atas alasan kegagalan dan/atau kecuaian semua defendan untuk memasukkan keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan lisan saksi yang dipanggil memberi keterangan sama ada transkripsi atau rakaman video, semua permohonan dan hujahan pihak-pihak sama ada hujahan bertulis atau lisan.