Jabatan Peguam Negara tidak wakili SPR keputusan terkehadapan, kata PKR

Jabatan Peguam Negara tidak wakili SPR keputusan terkehadapan, kata PKR

Saiful Izham Ramli

Cadangan Peguam Negara, Tommy Thomas agar Jabatan Peguam Negara tidak lagi mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mana-mana petisyen pilihan raya adalah suatu keputusan yang baik dan terkehadapan.

Pengarah Strategik PKR Negeri Kedah, Saiful Izham Ramli berkata, cadangan tersebut lebih baik kerana dalam prosiding
melibatkan petisyen pilihan raya, ia tidak melibatkan tuntutan sivil terhadap kerajaan.

Sebaliknya ujar beliau, tuntutan sivil terhadap SPR harus dilayan sebagai satu entiti yang bebas dari kekangan kerajaan.

“Bagi entiti yang keduanya pula, SPR berhak untuk menubuhkan unit maupun jabatan undang-undang mereka sendiri.

“Dengan kewujudan unit atau jabatan undang-undang tersebut ia mungkin boleh diserap atau diwakilkan daripada Jabatan Peguam Negara dan berhak untuk wakili SPR di mahkamah.

“Selain dari itu, SPR juga boleh mengambil pendekatan yang lebih telus dan jelas dengan mengambil mana-mana khidmat firma guaman bagi mewakili SPR untuk mempertahankan mereka dalam mana-mana tuntutan sivil petisyen pilihan raya di mahkamah, ” ujarnya ketika ditemui di rumah terbuka Adun Pantai Jerejak Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Bayan Lepas semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan dibuat Tommy Thomas pada Jumaat, mencadangkan supaya Jabatan Peguam Negara tidak lagi mewakili SPR bagi prosiding mana-mana petisyen pilihan raya bertujuan untuk mengelakkan percanggahan kepentingan.

Saiful Izham yang juga merupakan pengamal undang-undang turut berkata, tindakan tersebut sekiranya dapat direalisasikan akan memberi persepsi yang lebih positif.

Malah tegasnyalagi, ia akan dilihat lebih telus serta bebas dari segi undang-undang.

“Cadangan tersebut sekiranya mampu dilaksanakan akan memberi imej baharu dalam usaha membawa pembaharuan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Bukan saja ketelusan dan kebebasan mampu diakses melalui reformasi tersebut, sebaliknya SPR mempunyai lebih banyak ruang dan kebebasan.

“Ia juga merupakan pendekatan bebas yang lebih adil agar dilaksanakan dengan kadar yang segera, ” tambahnya lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS