Malaysia Dateline

Bersatu

Jabatan Pendaftar Pertubuhan mulakan siasatan ke atas Bersatu

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah memulakan siasatan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung status Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang mendapat bantahan anggota parti pembangkang berkenaan.

TimbalanPerdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan siasatan itu memerlukan penelitian dokumen yang akan mengambil sedikit masa, ROS telah diminta mempertingkatkan siasatan tersebut.

Kita telah meminta ROS bukan sekadar memulakan siasatan tetapi dapat mempertingkatkan siasatan dan penuhi aduan-aduan berkenaan, katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas gesaan anggota-anggota PPBM yang mahu ROS mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan kerana mereka mendakwa AGM pada Disember lepas tidak sah dan melanggar peraturan perlembagaan parti.

PPBM mengadakan AGM pertama mereka pada 30 Disember lalu.

Semalam, bekas excoAngkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM Pusat Mohamad Taufik Abas berkata 1,999 anggota parti itu akan berhimpun di Ibu Pejabat ROS sebagai tanda protes sekiranya masih tiada sebarang tindakan diambil terhadap parti itu dalam tempoh dua minggu.

Semasa ditanya sama ada ROS boleh menyiapkan siasatan itu dalam tempoh dua minggu, Ahmad Zahid berkata : “Terpulanglah kepada mereka. Saya tidak pernah terlibat dalam aktiviti pengoperasian mereka (ROS).”

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata ROS sedang meneliti 249 aduan yang dikemukakan anggota PPBM di seluruh negara terutama berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan parti itu.

Siasatan awal ROS mendapati 47 daripada keseluruhan aduan berkeaan mempunyai percanggahan dengan perlembagaan dan peraturan parti.