Malaysia Dateline

Jabatan Pendidikan Perlis daftar 74 pelajar tercicir

Jabatan Pendidikan Perlis mendaftar 74 murid dan pelajar yang sering ponteng sekolah di bawah program ‘Ops Cicir’ untuk kembali ke sekolah tahun ini.

Pengarahnya, Izmi Ismail berkata mereka terdiri lapan murid sekolah rendah dan 66 pelajar sekolah menengah yang ponteng 60 hari berturut-turut.

Beliau berkata Ops itu bagi membantu mereka yang tercicir dan tidak tahu sama ada dibuang sekolah serta tidak membuat rayuan untuk menyambung pelajaran kerana tidak mengetahui prosedur.

“Oleh sebab itu, kami membuat Ops Cicir untuk membantu mereka menyambung persekolahan,” kata Izmi kepada pemberita selepas meninjau kemasukan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Serdang, Simpang Empat di sini, hari ini.

Menurut Izmi mereka yang dibuang sekolah diberi masa sebulan untuk membuat rayuan kepada pengurusan sekolah.

Sementara itu, beliau berkata seramai 3,851 murid Tahun 1 mendaftar di 74 sekolah rendah manakala 3,200 pelajar Tingkatan 1 di 28 sekolah menengah di seluruh negeri hari ini.

— BERNAMA