Malaysia Dateline

Jabatan Penerangan Johor giat hebah maklumat koronavirus menerusi ‘Info on Wheels’

Jabatan Penerangan Johor memfokuskan kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong asing di negeri ini bagi memberikan hebahan dan menyalurkan maklumat tepat berhubung 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata hebahan menerusi program ‘Info on Wheels’ (IOW) oleh Unit Hebahan Bergerak Jabatan Penerangan Johor itu khususnya menumpukan pusat bandar raya ini, Forest City, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta pusat beli belah Johor Premium Outlets.

“Hebahan dan pengedaran risalah mula dilakukan di seluruh daerah sejak 27 Jan lepas, namun, kita fokuskan kepada kawasan kunjungan pelawat asing di Johor Bahru, Forest City, Kota Iskandar dan Johor Premium Outlets di Kulai,” katanya yang ditemui Bernama hari ini.

Dzulkefly berkata dalam masa sama, hebahan menerusi IOW itu turut diadakan di program-program dan majlis anjuran kerajaan negeri.

Beliau berkata hebahan IOW mengenai koronavirus mengandungi maklumat tepat berhubung jangkitannya, langkah pencegahan, tanda-tanda jangkitan, bagaimana ia merebak serta langkah kesiapsiagaan dan respons kerajaan bagi mengelakkan penularan.

“Di setiap program besar kerajaan negeri, Jabatan Penerangan akan edarkan risalah kepada rakyat tentang maklumat tepat koronavirus dan panduan pencegahannya.

“Begitu juga di kawasan kampung-kampung, tetapi untuk langkah pertama kita buat di kawasan tumpuan ramai,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Nur Zakiah Md Noh, 35, berkata IOW merupakan inisiatif yang amat baik dalam menyedarkan orang ramai mengenai jangkitan koronavirus.

“Melalui hebahan ini, penyebaran maklumat atau berita tidak sahih mengenai koronavirus boleh dielakkan.

“Langkah kerajaan dalam melaksanakan hebahan ini juga harus dipuji kerana secara tidak langsung orang ramai boleh mengetahui langkah pencegahan dan apa jua tindakan yang kerajaan ambil untuk lindungi rakyat,” katanya.

Muhamad Arif Jaminan, 25, pula menyifatkan hebahan IOW itu merupakan tindakan pantas dan proaktif kerajaan bagi memberi penerangan tentang koronavirus kepada rakyat.

“Seperti saya sendiri yang bekerja di Singapura, setiap hari saya akan pakai penutup hidung dan mulut. Jadi, dengan ada penerangan ini, orang ramai boleh mula melakukan pencegahan awal dan utamakan kebersihan,” katanya.

— BERNAMA