Malaysia Dateline

Jabatan Penjara nafi Azilah dibawa keluar jumpa VVIP

Jabatan Penjara Malaysia (JPM) hari ini menyangkal kenyataan beberapa pihak yang mendakwa banduan Azilah Hadri pernah dibawa keluar untuk menemui orang kenamaan (VVIP).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan JPM hari ini, Jabatan itu berkata, Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sejak 15 April, 2015.

“Adalah dengan ini, JPM mengesahkan bahawa Azilah Hadri tidak pernah dibawa keluar daripada penjara Kajang sepanjang tahun 2019.

“Kali terakhir penama (Azilah) dibawa keluar dari Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015, bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

“Pengiringan bagi menghadiri perbicaraan tersebut dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang telah dinyatakan,” katanya.

Tambahnya lagi, rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan Azilah telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga, dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang, sejak setahun yang lepas.

“Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

“Oleh itu, sebarang kenyataan dari mana-mana pihak yang mengatakan Azilah bin Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Semalam, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Azilah telah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang VVIP, Februari lalu.