Berkahwin dengan mereka yang mempunyai bukanlah satu perkara yang senang kerana ada banyak hati yang perlu dijaga.
Namun ia juga bukan satu perkara yang mustahil, malah boleh jadi ibu bapa segera untuk anak-anak tersebut.
Buat penyanyi Sarah Suhairi, dia memilih mengakhiri zaman bujangnya bersama suami, Aswad Mohd. Anuar lapor Kosmo! Online.
Memilih duda berusia 38 tahun dengan tiga anak perempuan, Sarah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu ‘segera’.
“Ketika perkenalan awal, Aswad sudah setahun bergelar bapa tunggal bahkan sebenarnya kami juga tak pernah meletakkan sebarang status sepanjang empat tahun berkawan.
“Tetapi saya sendiri dah berjumpa dengan tiga puterinya yang menerima kehadiran saya dalam hidup mereka.
“Kawan-kawan rapat saya pun sudah bertemu dengan anak-anak Aswad, mereka dah kenal baik.
“Saya tak kisah menjadi ibu ‘segera’. Sebelum ini mereka panggil saya ‘auntie Sarah’, mungkin selepas ini panggil saya ibu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Minat sukan berkuda
Dalam pada itu, Sarah memaklumkan minat akan sukan yang sama menjadi punca perkenalan mereka berdua.
“Mungkin ada yang tak tahu, Aswad selain pensyarah adalah jurulatih sukan berkuda dan kerap dipanggil menjadi juri.
“Manakala saya aktif sukan berkuda sejak usia 14 tahun, jadi kelompok kawan kami adalah orang yang sama.
“Dari situlah tercetusnya perkenalan. Apa pun sepanjang empat tahun berkawan, kami tak berahsia kerana Aswad sering temani saya ke majlis tertentu.
“Cuma dia tidak menonjolkan diri sangat kerana bagi kami selagi belum ada ikatan sah, lebih baik simpan sendiri,” ujarnya.
Sarah menerima mas kahwin berjumlah RM2,486 berupa gelang tangan emas bersama tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Baca juga: Pak Ya tinggalkan dunia hiburan, pilih jadi mutawif untuk dekatkan diri dengan Allah