Malaysia Dateline

Jadi kontak rapat pesakit Covid-19, PM jalani kuarantin

Ekoran Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid dijangkiti Covid-19, Perdana Menteri, Boris Johnson hanya akan melaksanakan tugas rasmi kerajaan yang diperlukan sahaja.

Johnson yang menjadi Perdana Menteri Britain sejak Julai 2019 dan Menteri Kewangan, Rishi Sunak disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit terbabit.

Jurucakap Downing Street berkata, namun kedua-dua mereka masih boleh melaksanakan tugas rasmi masing-masing berikutan mengambil bahagian dalam projek perintis kerajaan.

“Perdana Menteri dan canselor sudah dihubungi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaaan (NHS) berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Mereka akan menjalani ujian harian, iaitu projek perintis bagi membolehkan mereka bertugas dari Downing Street.

“Mereka hanya akan melaksanakan tugas perlu sahaja sepanjang tempoh itu,” lapor BH memetik AFP.

Sajid Javid (kanan) bersama Johson. Foto: Aaron Chown/AFP

Perkembangan itu berlaku ketika kerajaan Johnson pimpinan parti konservatif itu bersedia melonggarkan beberapa sekatan di England.

Pada masa ini, United Kingdom mencatatkan kumulatif sebanyak 5,386,340 kes dengan 128,683 kes kematian.

Semalam, Javid mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19 dan kini menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari.

Terdahulu, Javid menghadiri mesyuarat yang panjang bersama Johnson pada 16 Julai lalu.

Malah, Javid turut hadir bersama beberapa menteri di Parlimen pada minggu lalu.

Buat pertama kali kes positif Covid-19 di Britain naik mendadak melebihi 50,000 sejak Januari lalu.

Bahkan, Javid memberi amaran bahawa angka tersebut mungkin bertambah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.