Jadi mangsa rogol bapa, bapa saudara, 2 kanak-kanak di Kelantan tampil buat laporan polis

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang nak percaya ahli keluarga sendiri pun susah sebab kes sumbang mahram semakin meningkat di Malaysia.

Lebih membimbangkan kebanyakan kanak-kanak ini tidak sedar apa yang berlaku kepada mereka adalah satu jenayah.

Terbaru kes melibatkan dua kanak-kanak berusia 13 dan 14 tahun yang mengaku menjadi mangsa rogol bapa serta bapa saudara.

Aduan tersebut diterima selepas mereka melihat pendedahan dibuat oleh Polis Kelantan mengenai peningkatan kes sumbang mahram yang berlaku di Kelantan lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkongsi bahawa kedua-dua mangsa tampil membuat aduan satu di Tanah Merah dan satu di Kuala Krai.

“Untuk kes di Tanah Merah mangsa dirogol oleh bapa serta dua bapa saudaranya sejak tahun lalu.

“Manakala di Kuala Krai pula mangsa dirogol oleh bapanya juga sejak tahun lepas,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Kedua-dua mereka tampil sendiri ke balai polis untuk membuat aduan dan kes kini disiasat dan pada masa sama menunggu laporan kesihatan daripada pihak doktor.

Dalam masa sama, Mohd Yusoff memaklumkan kesemua suspek yang dilaporkan telah ditahan.

“Kami (Polis Kelantan) mengalu-alukan mangsa untuk hadir dan membuat laporan sendiri di balai polis.

“Walaupun bawah umur dan datang sendirian, kami akan menerima sebaik mungkin,” tambahnya.

Baca juga: Ramai kagum tengok bapa tunggal tak kekok di dapur, buat 2 kek untuk jamuan raya anak di sekolah