Jadi ‘Menhan’ Mohamad tak sempat berbuka, sambut raya di rumah tahun ini

Jadi ‘Menhan’ Mohamad  tak sempat berbuka, sambut raya di rumah tahun ini

Menteri Pertahanan (Menhan) Mohamad Sabu mengakui sejak dilantik sebagai menteri, jadual beliau padat sepanjang masa termasuk pada bulan Ramadan apatah lagi dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Beliau yang mesra dengan panggilan Mat Sabu bercerita mengenai pengalaman pertamanya sebagai menteri pertahanan berbuka puasa dengan anggota tentera di Sabah dan Sarawak yang sedang menjalankan operasi di Pulau Jambongan Sabah pada 12 Mei; Kem Muara Tuang, Kuching  pada 17 Mei dan TUDM Gong Badak pada 22 Mei lepas.

“Kalau boleh di bulan puasa saya mahu berada dalam kawasan (Parlimen Kota Raja) tetapi kerana saya ni menteri pertahanan terpaksa bahagikan masa kena juga berbuka puasa dengan anggota tentera.

Mohamad ke pasar Ramadhan di kawasannya untuk mengedarkan bubur lambuk untuk berbuka..

“Buka puasa pertama saya dengan tentera yang sedang menjalankan operasi di Pulau Jambongan. Tentera yang berbuka puasa di sana…senapang sentiasa di badan mereka.

“Saya tidur di sana tentera berkawal dengan senapang kerana di situ kawasan operasi…lanun membuat kacau suka melakukan penculikan kerana di situ sempadan Sabah dan Filipina.

“Kemudian saya pergi ke kem Muara Tuang.di Sarawak dan semalam saya berbuka puasa bersama tentera udara di Pengakalan Udara Gong Badak di Terengganu di mana terdapat kapal terbang Sukoi di sana.

“Hari ini saya masuk ke kawasan (Kota Raja) dengan melawat pesakit, pemberian bubur lambuk, berbuka puasa, solat magrib dan solat sunat terawih pula untuk berjumpa rakyat sebanyak mungkin di kawasan.

“Pada 25 Mei saya akan berbuka puasa dengan Sultan Selangor, 26 Mei di kawasan dan 27 Mei berbuka puasa dengan tentera laut di Kuantan, 28 Mei balik kawasan dan 31 Mei terbang pula ke Singapura untuk bermesyuarat antara menteri pertahanan seluruh Asian.

“Lepas itu baru dapat pulang dan saya sejak bulan Ramadan tidak sekali pun dapat berbuka puasa di rumah kerana jadual saya penuh dengan program,” ujar Ahli Parlimen Kota Raja ini.

Mohamad menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid Himmatul Aliyah di Seksyen 32, Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pusat Khidmat Wakil Rakyat pada Program Bubur Lambuk dan Berbuka Puasa  Bersama Non Muslim di Parlimen Kota Raja pada Rabu.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, sambutan hari raya bagi rakyat Malaysia seperti satu budaya dan mengingatkan rakyat tidak melakukan pembaziran ketika meraikan kedatangan Syawal pada 5 Jun depan.

“Saya kali ini tidak raya di kampung atau di Kuala Lumpur tetapi akan berhari raya bersama 800 anggota tentera  Malaysia di Lebanon yang telah bertugas lebih setahun di sana. Itulah kepadatan jadual saya yang disusun setiap masa.

” Kita raya sebulan sudah jadi budaya asalkan jangan membazir. Yang penting kita menjaga silaturahim keluarga dan rakan taulan,” ujarnya.

Katanya lagi dalam masa berbaki di bulan Ramadan ini beliau mengambil kesempatan turut menyampaikan ucapan selamat hari raya Aidil Fitri kepada penduduk di Parlimen Kota Raja.

Dalam program sehari di Parlimen Kota Raja itu Mohamad  berbuka puasa  bersama non muslimdan bersolat magrib  di Pejabat Pusat khidmat Parlimen Kota Raja. Mohamad kemudiannya melakukan solat Isyak di Masjid Himaltull Aliyah Bukit Naga dan mengakhirinya dengan solat Terawih di  Surau Al Hijrah Kota Kemuning.

Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Al Hijrah Kota Kemuning dan Masjid Himmatul Aliyah Kampung Seri Gambut Seksyen 32, Shah Alam..

Mohamad beramah mesra dengan penyokong AMANAH di Parlimen Kota Raja pada majlis diadakan,.