Malaysia Dateline

Jadi pemimpin contoh, baru rakyat ikut

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akui, slogan ‘pemimpin sebagai contoh’ merupakan yang terbaik yang dapat mencorakkan sikap rakyat Malaysia dengan disiplin diri yang baik.

Jelasnya, sekiranya beliau mengharapkan rakyat untuk bekerja keras, terlebih dahulu dirinya sendiri perlu menunjukkan sikap kerja keras yang dapat dicontohi.

“Jika saya mahu orang bekerja keras, saya harus bekerja keras. Begitu juga, jika saya mahu pekerja yang bekerja datang tepat pada waktunya, maka saya juga mesti menepati waktu.

“Sekali lagi, perkara ini mungkin kedengaran seperti hal kecil, tetapi ia penting untuk kita menghormati dan tepati masa.

“Sesetengah orang yang gagal hadir tepat pada waktunya selepas membuat temujanji dengan saya di masa lalu, mungkin merasa marah kerana saya tidak fleksibel.

“Tetapi saya tidak terlalu tegas sehingga tidak boleh memahami masalah yang tidak dijangka seperti kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Saya hanya menekankan mengapa ketepatan dan menghormati masa sangat penting,” katanya dalam program My Voice My Nation Malaysia 2019, di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Namun begitu, beliau akui, jadualnya hari ini yang agak fleksibel bukan kerana tidak mengambil berat tentang kepatuhan pada masa, tetapi ia kerana jumlah tugasannya yang tidak menentu.

Sementara itu, Dr Mahathir juga memberi penghargaan kepada isterinya, Tun Dr Siti Hasmah, yang sanggup bersusah payah setia bersamanya walaupun sudah memasuki 63 tahun usia perkahwinan mereka.

“Orang kata, di sebalik lelaki yang berjaya, ada seorang wanita dibelakangnya. Saya tak tahu jika saya ini dalam kategori berjaya, kerana sehingga ke hari ini, pekerjaan saya masih diperingkat penambahbaikan, dan dihakimi sepanjang masa.

“Walau apa pun, saya beruntung mempunyai Hasmah bersama saya sepanjang 63 tahun ini.

“Dan dia sebagai seorang doktor, saya yakin ia merupakan bonus kepada saya, terutamanya pada peringkat kehidupan sekarang, saya mempunyai doktor di sisi saya hampir setiap masa. Saya tidak tahu bagaimana dia bersabar dengan saya selama ini. Tapi dia mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik,”ujarnya.

Program forum pengucapan awam bermotivasi dan konsert amal ini dianjurkan oleh Sannie Movement (M) Sdn Bhd dan Relement Group Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

My Voice My Nation Malaysia 2019 turut menampilkan personaliti terkemuka dalam pengucapan awam dari dalam dan luar negara membabitkan ahli politik, usahawan dan penghibur yang akan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman hidup mereka sebagai sumber inspirasi.

Turut mengambil bahagian sebagai speaker kehormat ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; selain persembahan hiburan artis Hong Kong, Michael Wong Man Tak.

Dalam Majlis sama, Dr Mahathir turut menyampaikan cek Derma Amal Atlet Para yang kesemuanya berjumlah RM150,000.