Malaysia Dateline

Jadi PM UK paling singkat, Liz Truss letak jawatan susulan pembentangan bajet paling buruk

Baru 44 hari dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) United Kingdom Lizz Truss akhirnya meletakkan jawatan susulan pembentangan bajet yang paling buruk pada bulan lalu.

Pengunduran Truss bertitik tolak daripada penyusutan kuasa politiknya ditambah pula keadaan ekonomi yang sangat teruk.

“Kami membayangkan visi ekonomi bercukai rendah dan berketumbuhan tinggi yang boleh dimanfaatkan menerusi Brexit.

“Saya bagaimanapun menyedari, berdasarkan situasi, saya tidak mampu meneruskan mandat sebagai yang telah dipilih oleh Parti Konservatif.

Oleh itu, saya telah memaklumkan kepada baginda Raja (Charles III) untuk mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Konservatif,” kata Truss dalam satu kenyataan.

Pengunduran Truss itu adalah selepas satu mesyuarat bersama Grahan Brady, iaitu ahli politik Konservatif yang bertanggungjawab dalam hal undian kepimpinan dan rombakan.

Brady mempengerusikan 1922 Committee, iaitu kumpulan ahli-ahli Parlimen Konservatif tanpa jawatan menteri, yang boleh mengajukan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Segalanya sudah berakhir,” ujar sumber yang dipetik portal berita The Guardian.

Truss, yang menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah United Kingdom, dilihat ‘tewas’ dengan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen Tory selepas peletakan jawatan Setiausaha Negara Suella Braverman, selain daripada kekacauan politik dalaman Parti Konservatif sendiri.

Masih belum jelas sama ada Truss akan berundur serta-merta atau pada tempoh tertentu yang bakal diumumkan.

Sehubungan perkembangan mengejutkan itu, Ketua Pembangkang Parti Buruh Keir Starmer menggesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Berikut teks penuh ucapan Truss di Downing Street.

“Saya memegang jawatan ini ketika ketidakstabilan ekonomi termasuk di peringkat antarabangsa yang dahsyat. Golongan yang berkeluarga dan sektor perniagaan bimbang bagaimana untuk membayar bil mereka, perang yang tidak sah membabitkan Putin di Ukraine turut mengancam keselamatan seluruh benua kita, malah pertumbuhan ekonomi negara turut terbantut dalam tempoh yang panjang.

“Saya telah dipilih oleh Parti Konservatif dengan mandat untuk mengubahnya. Kami mengemukakan rancangan untuk membekukan bil tenaga dan pemotongan insurans nasional. Selain menetapkan visi untuk cukai yang rendah, ekonomi dengan pertumbuhan tinggi yang memberi kelebihan susulan kebebasan daripada Brexit.

“Saya sedar disebabkan keadaan semasa, saya tidak dapat menjalankan mandat diberikan melalui Parti Konservatif. Oleh itu, saya telah bercakap kepada Raja bagi memaklumkan peletakan jawatan sebagai ketua Parti Konservatif.

“Pagi ini saya bertemu Pengerusi Jawatankuasa 1922, Sir Graham Brady. Kami bersetuju bahawa akan ada pemilihan kepemimpinan yang akan diselesaikan minggu depan. Ini akan memastikan bahawa kita kekal di landasan untuk merealisasikan rancangan fiskal dan mengekalkan kestabilan ekonomi serta keselamatan negara.

“Saya akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pengganti dipilih. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu bekas Perdana Menteri British, Boris Johnson dijangka bertanding mewakili Parti Konservatif bagi merebut jawatan menggantikan Truss.

Pemimpin lain yang dijangka menawarkan diri bertanding termasuk bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dan bekas Menteri Pertahanan, Penny Mordaunt.

Baca juga: PH sedia hadapi pilihan raya, kerusi selesai, Anwar dicalon sebagai PM, bertanding di Tambun

Baca juga: “Macam ada unsur sabotaj”, netizen berang tiket ‘flight’ naik mendadak lepas satu jam tarikh PRU diumum