Jadi rasis, kerjasama dengan Pas punca pemimpin Sabah tinggalkan Umno
Perhimpunan membantah ICERD yang disertai Umno bersama Pas menjadi sebab langsung pemimpin Sabah tinggalkan Umno.

Jadi rasis, kerjasama dengan Pas punca pemimpin Sabah tinggalkan Umno

Bimbang Umno menjadi terlalu Islamik dan rasis selepas rapat dengan Pas menjadi sebab utama pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti, menurut sumber, lapor The Malaysian Insight (TMI).

Sumber portal berita itu menyatakan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor, yang mengetuai gerakan itu, merujuk kepada hubungan antara Umno dan Pas apabila menyatakan kepimpinan Umno sudah hilang hala tuju.

Hajiji berkata demikian semalam ketika mengumumkan sembilan Adun, empat ahli Parlimen, dua senator, dua ahli Majlis Tertinggi Umno, 21 ketua bahagian, Wanita Umno Sabah, Puteri Umno Sabah, dan juga 12 Pemuda bahagian keluar parti.

Mereka turut membawa lebih 50% daripada 500,000 ahli Umno Sabah berdaftar.

Sumber itu menambah, lapor TMI, mereka turut terkejut apabila pada perhimpunan anti-ICERD di Kuala Lumpur, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengumumkan Umno dan Pas boleh bekerjasama.

Menurut sumber berkenaan, perkembangan terbaru itu turut mengecewakan lebih 100,000 ahli Umno bukan Islam di Sabah.

“Mereka mengadu Umno menjadi semakin Islamist dan rasis,” tambah sumber berkenaan kepada TMI.

“Majoriti ahli di sini bukan Melayu. Jadi adakah itu bermakna kami adalah ahli Umno kelas kedua?” soal sumber itu.