Sandwic Subway yang dibeli seorang wanita Australia mungkin menjadi hidangan jenama itu yang paling mahal pernah dimiliki Jessica Lee.
Dia didenda 2,600 dolar Australia (kira-kira RM8,000) hanya kerana tidak mengisytiharkan sandwic Subway yang dibelinya di Singapura.
Terdahulu, Jessica tiba di Perth selepas bercuti di Eropah dan transit dalam penerbangan pulang di Singapura.
Menurutnya, dia membeli sandwic itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kerana lapar selepas menempuh perjalanan selama 11 jam.
“Saya sudah makan satu sandwic sebelum penerbangan kedua dan menyimpan bakinya untuk penerbangan pulang,” katanya menerusi video di TikTok.
Malangnya, dia tidak tahu mengenai keperluan mengisytihar barangan dibawa termasuk sandwic itu.
Katanya, dia perlu membayar denda itu dalam tempoh 28 hari sedangkan dia tidak lagi bekerja dan perlu membayar sewa.
Undang-undang biokeselamatan Australia sangat ketat bagi melindungi pertanian serta persekitaran dan hidupan liar yang unik di negara itu daripada haiwan perosak dan penyakit.
Mengikut peraturan biosekuriti Australia, pengembara perlu mengisi akuan masuk dengan wajib mengisytiharkan barangan berisiko termasuk makanan, bahan tumbuhan dan produk haiwan yang tertentu.
Barangan yang mesti diisytihar juga merangkumi komersial, makanan dan bahan masakan yang dibungkus, segar, dikeringkan, dimasak, dibekukan atau yang sedikit amaunnya.
Dalam masa sama, Australia juga melarang membawa keluar makanan dari kapal terbang atau kapal.
Baca juga Apa guna kenakan hukuman denda RM1,000 sedangkan RM100,000 pun mampu dibayar?