Jadi tempat berlindung rakyat Palestin, sekolah TokTi di Gaza terselamat dari dibom Israel

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza masih terselamat daripada ancaman bom.

Difahamkan, sekolah berkenaan kini telah menjadi tempat berlindung sebilangan rakyat Palestin yang terselamat daripada bedilan bom rejim Zionis, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan Siti Nurhaliza, Dr Mohanad yang menghubungi penyanyi berkenaan melalui sosial media selepas beberapa hari terputus hubungan.

Difahamkan, Dr Mohanad ialah pengurus sekolah Afwa Al Aafiyah yang mewakili Siti dalam membantu menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk setempat.

Menerusi hantaran di Instastory miliknya, penyanyi yang lebih mesra disapa TokTi itu meminta orang ramai terus mendoakan keselamatan seluruh masyarakat Palestin.

“Alhamdulillah sekolah saya masih selamat lagi. Sekarang ini, sekolah itu menjadi penempatan untuk mereka yang tiada tempat tinggal di kawasan berhampiran.

“Saya berdoa dalam setiap solat saya semoga sekolah, anak-anak saya tidak dibom dan berdoa peperangan ini cepat dihentikan sebab kita merasai apa rakyat Palestin rasa,” katanya.

Sekolah Afwa Al Aafiyah mula beroperasi pada 5 Oktober 2021 di Gaza, Palestin atas hasil sumbangan orang ramai kepada Yayasan Nurjiwa yang diasaskan penyanyi itu.

Dalam perkembangan terbaharu, yayasan tersebut melalui sekolah Afwa Al Aafiyah telah memberi bantuan kewangan kepada penduduk Palestin yang berdekatan.

Selain menyerahkan wang USD100 (bersamaan lebih kurang RM450) kepada setiap keluarga, yayasan itu turut menyumbangkan RM100,000 untuk membeli keperluan sekolah.

“Sedikit maklumat daripada Dr Mohanad, pada masa ini, apa yang termampu adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk keluarga ini membeli makanan. 

“Suasana di sana memang sukar apabila terlalu ramai beratur untuk membeli makanan namun itulah situasinya.” Jelas Tokti menerusi satu hantaran di laman Instagram.

Beberapa minggu lalu, tentera Israel telah meluaskan pencerobohan di Semenanjung Gaza ketika sistem komunikasi dan internet di wilayah Palestin dilaporkan terputus.

Pengumuman itu dibuat ketika tentera Israel memperhebatkan kempen pengeboman bagi memusnahkan infrastruktur yang digunakan pejuang Palestin termasuk Hamas.

Baca juga: Tak tahu sejarah Malaysia tapi sibuk komen, Uyaina Arshad sekolahkan netizen Indonesia