Malaysia Dateline

Jadi TPM kepada Tun M sekali lagi terlalu berat, beritahu Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, menggalas jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai kesukaran yang besar untuknya.

Kata beliau, permintaan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan yang menyokongnya agar menimbangkan pilihan kedua itu memerlukan dirinya menjadi TPM sementara Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Cadangan kedua ini, tentu saya terpaksa beri pertimbangan. Kawan-kawan (yang beri cadangan) ini yang menyokong saya, bukan menentang.

“Mereka berkata, sementara Tun jadi Perdana Menteri, saya mesti wajib terima jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya hadapi kesukaran yang maha besar untuk menanggung itu.

“Saya bergurau dengan kawan-kawan saya dan berkata, nak suruh saya derita berapa lama lagi. Sudahlah,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya semalam.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, tidak timbul soal khianat antara rakan-rakan dalam gabungan tersebut selepas beberapa kenyataan yang dikeluarkan dalam kalangan pemimpin-pemimpin PH.

Jelasnya, perbezaan pendapat itu bukan isu yang besar oleh kerana mereka masih meneruskan usaha mendapatkan sokongan dan mengembalikan mandat rakyat.

“Soal khianat antara kita tidak timbul. Dakwaan mereka lupa jasa, tak pernah,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pemimpin PH secara sebulat suara juga telah mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri dan tiada satu pun pertikaian yang berlaku mengenai hal itu.