Jadi transit wang haram, 5 bank utama negara dalam pengawasan SPRM

Oleh KIM SYAZIE

Lima bank utama di Malaysia disyaki menjadi ‘transit’ sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara.

Bank-bank berkenaan bagaimanapun sudah berada di bawah pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, transaksi yang dibuat sindiket menerusi akaun bank berkenaan boleh mencecah sehingga RM1 juta sehari.

Penglibatan bank itu terbongkar susulan siasatan yang dijalankan SPRM setelah berjaya menumpaskan satu sindiket menerusi Op Tropicana baru-baru ini.

Bagi memudahkan proses membuka akaun, tidak kurang dari 20 kakitangan bank dipercayai terlibat termasuk juruaudit dan pegawai kaunter hadapan.

Jika ada laporan transaksi yang mencurigakan berlaku, pegawai bank yang terlibat akan ‘menutup mata’ tanpa mengambil sebarang tindakan. 

Sebagai balasan, mereka dijanjikan bayaran sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka untuk kegunaan sindiket.

“Walaupun secara dasarnya, hanya pekerja bank yang dikenal pasti terbabit dalam operasi sindiket penipuan, SPRM akan tetap memantau operasi bank berkenaan.

“SPRM juga sudah mengenal pasti tujuh hingga lapan syarikat palsu yang diwujudkan sindiket penipuan sebagai cara untuk membuka akaun bank di negara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan mendapati, kebanyakan mangsa sindiket pelaburan palsu itu terdiri daripada warga Australia dan United Kingdom (UK).

Dengan bantuan kakitangan bank tempatan, sindiket itu berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.

Baca juga: Tekad sewa trak tunda bawa Mercedes keliling bandar, rupanya ini punca sebenar