Bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganggarkan RM700 juta bakal dibelanjakan bagi tujuan penganjuran acara tersebut.
Bukan hanya di Kuala Lumpur, ia akan turut dilaksana di tiga negeri lain termasuk Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa kos itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Sebaliknya ia akan dibantu tiga negeri yang sudah menyatakan kesediaan menganjurkan temasya sukan tersebut lapor Kosmo! Online.
Jelasnya, jumlah tersebut dibuat selepas mengambil kira kos penganjuran ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
“Untuk Sukan SEA 2027, kita sudah hantar surat kepada semua pimpinan negeri dan jemput mereka untuk jadi penganjur bersama. Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri menjawab untuk menanggung (kos).
“Anggaran (kos penganjuran) adalah RM700 juta dibuat berdasarkan Sukan SEA 2017 dan selepas kita menolak semua komitmen serta peruntukan negeri. Jadi persekutuan tak perlu tanggung banyak,”
“Nanti ada empat lokasi, bukannya di Kuala Lumpur sahaja, jadi penjimatan dan tanggungjawab bersama itu wujud.
“Atlet-atlet dan peminat juga boleh merasai suasana yang lebih berbeza berbanding kebiasaan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Hannah mendedahkan bahawa Sarawak menjadi penyumbang terbesar antara tiga negeri terlibat apabila menanggung separuh kos penganjuran iaitu melebihi RM300 juta.
Manakala Sabah menanggung RM100 juta dan Pulau Pinang sebanyak RM15 juta.
Pada masa sama Hannah memaklumkan negeri lain turut menyatakan minat untuk menganjurkan Sukan SEA 2027, namun tidak bersedia menanggung kos penganjuran.
Baca juga: CEO persatuan insurans terkejut hospital caj RM18,837 untuk satu malam, terima bil 13 muka surat!