Malaysia Dateline

Jadi YB, aktivis serentak lagi mudah bantu rakyat, kata Calon Bebas

Calon Bebas, Kuan Chee Heng berkata beliau tidak mempunyai masalah berkhidmat secara serentak sebagai aktivis masyarakat dan wakil rakyat sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, beliau berkata dapat berbuat demikian akan memberi lebih ruang kepadanya untuk membantu masyarakat di kawasan Semenyih.

“Saya tiada masalah untuk jadi dua-dua (jika menang), wakil rakyat dan aktivis…kerana ia mudahkan lagi saya untuk bantu orang,

“Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja perlu mengharapkan dana daripada kerajaan tapi kena perlu bersedia dengan (mencari) dana dan kemudahan lain,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra di tapak pasar malam,pada Isnin.

Pada PRK 2 Mac itu, Kuan berdepan saingan empat penjuru bersama Muhammad Aiman Zainali (Pakatan Harapan), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).

Umum melihat saingan sebenar bagi kerusi DUN itu melibatkan calon PH dan BN.

Kuan berkata dalam kempennya beliau merasa lebih dekat dengan pengundi dan masyarakat apabila dapat bersua muka dalam suasana santai berbanding aktiviti ceramah.- BERNAMA