Jadikan Grab Food, Foodpanda sebagai pekerjaan tetap bukan Gojek

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan perlu melihat perkhidmatan penghantaran makanan Food Panda dan Grab Food, sebagai satu langkah membuka peluang pekerjaan tetap kepada anak muda, berbanding membawa masuk perkhidmatan teksi motosikal, Gojek ke Malaysia.

Ini kerana, langkah membawa masuk perkhidmatan Gojek dalam negara pada masa yang singkat boleh dianggap sebagai gerakan politik semata-mata.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail, menyuarakan pendirian itu yang menyebut manifesto Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada PRU14 lalu, yang pernah menjanjikan 1 juta peluang pekerjaan untuk diberikan kepada anak muda.

“Jadi sekarang mana pekerjaannya? Itu sebab bila Gojek keluar, saya marah kerana anak muda patut diberi peluang yang lebih bagus dari memandu gojek.

“Kalau nak beri pekerjaan, sepatutnya rider Food Panda, dan Grab Food di jadikan sebagai pekerja tetap. Jika dalam sebulan pekerja ini boleh memperoleh sehingga RM4,000, maknanya mereka pekerja yang rajin.

“Mereka sepatutnya digajikan sebagai pekerja tetap. Kenapa nak bayar secara komisen. Kenapa kita promosi kadar gaji rendah sedangkan kos sara hidup semakin meningkat?

“Populasi rakyat Malaysia juga kecil. Kita bukan ada sehingga 300Juta rakyat macam Indonesia. Berbaloi lah mereka buat Gojek sebab bila-bila masa mereka boleh peroleh pendapatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamsubahrin berkata, beliau tidak pernah menghalang sekiranya perkhidmatan Dego Ride yang pernah diberhentikan perkhidmatannya pada 2017, dihidupkan semula atas sentimen menyokong produk tempatan, berbanding membuka peluang membawa masuk Gojek ke Malaysia.

Datuk Shamsubahrin Ismail

Ini kerana katanya, pengangkutan awam dari negara asing bakal mengundang kesan negatif kepada Malaysia.

Katanya, ia bakal merangkumi kesan aliran keluar wang negara, selain risiko syarikat asing menutup perniagaan dan melarikan diri sekiranya berdepan masalah pengurusan.

“Sekurang-kurangnya produk tempatan seperti Dego Ride kita ada kawalan terhadap syarikat terbabit, berbanding produk asing yang boleh ‘angkat kaki’ dan pulang ke negara asal mereka jika berdepan masalah.

“Pendapatan yang dikaut sistem pengangkutan awam kendalian syarikat asing juga mengalir keluar, justeru kita hanya mengalami kerugian. Oleh itu, lebih baik sokong produk tempatan yang sangat berjaya sebelum ini,” katanya
Dego Ride pernah diperkenalkan pada tahun 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50, namun ia hanya terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer (km) di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat isu Gojek dalam konteks yang lebih luas terutama berkenaan soal keselamatan.

“Tapi saya ingin ingatkan kerajaan Malaysia, jika nak bawa Gojek ke Malaysia dipersilakan, saya tak ada masalah…Cuma soal keselamatan itu perlu jaga.

“Kerajaan kata nak buat penguatkuasaan berdasarkan pendekatan ‘soft landing’, itu pun saya masih tak nampak. Jadi adakah kerajaan sudah bersedia menguatkuasakan semua sistem ini?

“Tiada kewajaran untuk menjemput Gojek ke negara kita dalam keadaan kerajaan sendiri belum bersedia dengan penguatkuasaan tersebut,” katanya kepada pemberita di pejabat Big Blue Taxi, di Kuala Lumpur, hari ini.