Malaysia Dateline

Jadikan Kongres PKR platform kukuhkan parti, bukan medan pertempuran

Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan awal bulan Disember ini sepatutnya menjadi platform untuk mengukuhkan parti dan bukannya medan pertempuran untuk mana-mana kumpulan.

Demikian saranan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder.

Jelasnya, Kongres yang akan diadakan tidak harus dijadikan tempat untuk mencalarkan parti dan menjatuhkan imej pimpinan parti khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden.

“Adalah amat dikesali terdapat segelintir pimpinan parti yang sudah lupa erti perjuangan sebenar yang telah ditunjangi sejak 1998 lagi.

“Ramai antara mereka yang telah menjadi sebahagian dari kerajaan semakin lupa diri setelah dinobatkan sebagai Menteri maupun Timbalan Menteri kini.

“Seharusnya golongan ini sedar bahawa kedudukan yang mereka kecapi kini adalah atas nama parti PKR dan bukannya atas nama individu atau parti Bebas,” ujarnya.

Tambah beliau, muhasabah diri dan cermin diri akan menjadikan seseorang itu sedar akan kekurangan yang ada pada diri sendiri.

Namun begitu tegasnya, seandainya wujud perasaan bahawa hanya diri sendiri sahaja yang kuat dan bukan atas nama parti yang mendokong kedudukan mereka kini, terdapat sesuatu yang tidak kena.

“Seandainya ada usaha untuk mengkhianati parti dan perjuangan yang telah dilakari sejak 20 tahun yang lalu, maka golongan tersebut tidak layak untuk terus berada dalam kepimpinan parti maupun kerajaan.

“Sekiranya dibiarkan golongan tersebut terus berada dalam parti lambat laun ia akan menjadi virus yang amat merbahaya sehingga menjadi kudis kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Sehubungan itu PKR harus berani untuk menyahkan mereka yang sudah terbukti jelas ingin merosakkan parti agar perjuangan untuk membela rakyat tidak akan terganggu dengan sikap hipokit segelintir pimpinan yang bertopengkan jawatan dan kedudukan dalam kabinet, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, kecelaruan dalaman parti yang dipertontonkan kepada umum tidak akan membawa apa jua kebaikan, sebaliknya mencemarkan imej PKR maupun kerajaan yang sedang menunjangi kepimpinan negara tatkala itu.