Malaysia Dateline

Jadikan kritikan terhadap AMANAH sebagai cabaran, kata Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu meminta ahli parti supaya menganggap kritikan yang ditujukan kepada parti AMANAH sebagai suatu cabaran, sekali gus berusaha memperbaiki keadaan.

Jelas beliau, dalam soal ini ahli AMANAH tidak perlu marah, sebaliknya menyifatkan kritikan tersebut sebagai suatu cabaran.

Beliau berkata demikian mengulas forum yang diadakan oleh NGO dan beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang mengatakan bahawa ekoran kekalahan PH dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, AMANAH dikatakan gagal dalam usaha menangani rakyat dan meraih sokongan rakyat kepada PH.

Kesimpulan forum itu katanya, AMANAH didakwa gagal membawa sokongan orang Melayu khususnya kepada PH dalam PRK tersebut melebihi pihak lawan.

Mereka ujar beliau, meletakkan tanggungjawab mendapatkan sokongan orang Melayu kepada AMANAH.

Mereka yang hari di Program Latihan Pengucapan Awam & Taklimat Isu Semasa di Institut Kraf Negara, Selayang, Selangor semalam.

Sehubungan itu kata Menteri Pertahanan itu, AMANAH perlu melakukan muhasabah, membuat kritikan terhadap diri sendiri dan mencari kelemahan supaya ia dapat diperbaiki untuk meraih sokongan orang Melayu terhadap AMANAH dan PH.

Beliau menyarankan demikian sewaktu berucap merasmikan Program Latihan Pengucapan Awam & Taklimat Isu Semasa di Institut Kraf Negara, Selayang, Selangor yang dianjurkan oleh Biro Mobilisasi AMANAH Nasional semalam.

Mengenai program berkenaan, Mohamad berkata, beliau yakin pengislahan atau pembaikan boleh dilakukan melalui pendapat-pendapat yang dikeluarkan sepanjang program.

“Daripada kita berasa kita kuat sebenarnya tidak kuat, lebih baik kita berasa tidak kuat, tapi orang nampak kita kuat,” saran beliau.

Kesimpulannya kata beliau, kritikan yang ditujukan kepada AMANAH, jangan dibalas balik dengan kemarahan tetapi jawablah dengan berkata ya, sekarang kami dilihat lemah, tetapi kamilah yang akan mengepalai PH pada masa akan datang.

Program sehari itu turut dihadiri beberapa pimpinan termasuk Ketua AWAN dan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.