Malaysia Dateline

Jadikan Kuala Lumpur milik rakyat, milik kita bersama

Awal tahun 2018 ini diganding dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke-44 – sambutan yang diharapkan dapat mengangkat agenda kepedulian sosio ekonomi serta pendekatan serba manusiawi warga kota.

Rakyat Kuala Lumpur dan Lembah Pantai khususnya, turut berpayung di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan semua agensi berkaitan.

Namun, adakah kebajikan rakyat atau kepentingan parti yang menjadi keutamaan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor?

Menteri nampaknya lebih gemar menghunus senjata ke pihak pembangkang berbanding memayungi rakyat dengan dasar yang baik. Seolah-olah sudah selesai tugasan mentadbir, seolah-olah tiada rakyat terpinggir.

Bersempena Hari Wilayah ini, izinkan saya mengajukan beberapa persoalan buat Menteri berkenaan:

Wahai Menteri, sudahpun menjelang kali ke-44 Hari Wilayah diraikan, kenapa tidak fokus pada isu masalah tumbesaran kesihatan yang dikesan di Wilayah Persekutuan Putrajaya?

Meskipun dapatan Kajian Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016 menjelaskan bahawa satu dalam empat anak-anak kecil di Wilayah Persekutuan Putrajaya mengalami masalah pertumbuhan terbantut, atau ‘stunted growth’, pihak Menteri terus diam seribu bahasa.

Wahai Menteri, menjelang PRU14, apakah pula tindakan yang diambil bagi menangani kelemahan urus tadbir perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?

Saya sering kali mendengar luahan warga kota mengenai kemudahan yang tidak diselenggara dengan baik, Perkhidmatan lif yang kerap bermasalah serta penjagaan kebersihan kurang diberi perhatian.

Adakah ini yang dibanggakan pihak Menteri? – apabila melihat warga emas memerah keringat untuk naik ke rumah dan berdamping dengan kotoran di sekitar kediaman?

Wahai Menteri, menjelang PRU14, apa pula reaksi tentang situasi miskin bandar yang semakin meruncing? Perbezaan ketara antara golongan elit dan bawahan di kawasan kota mengakibatkan jurang sosial yang meluas.

Wahai Menteri, menjelang PRU14, jangan pula alpa terhadap kebanjiran warga asing yang membelenggu negara, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada hampir 7 juta warga asing di Malaysia bertapak di tengah kota Kuala Lumpur, dan mendominasi corak budaya serta perniagaan di sekitar kawasan.

Ingin saya persoalkan, adakah pihak Menteri tidak sedar tentang ‘perubahan’ ini? Atau mungkinkah ia sengaja dibiarkan berlalu demi mendapatkan perolehan yang lebih tinggi dalam bentuk cukai, saman, komisen dan sebagainya?

Wahai Menteri, menjelang PRU14, isu terbesar yang perlu saya bangkitkan adalah berhubung soal integriti dan ketirisan di dalam agensi yang ada pertalian dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Pendakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berjumlah RM 4.4 juta pada tahun 2016, serta penerimaan suapan yang diterima oleh seorang pengurus DBKL berkenaan kontrak pembersihan yang dikesan tahun lepas hanyalah secebis isu yang diketahui umum – dan masih belum selesai.

Tidak cukup dengan itu, projek RUMAWIP di Pantai Dalam pula didapati penuh lompong – diakibatkan isu penjualan tanah yang tidak jelas dan ketiadaan SOP pemilihan pemaju, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2016.

Walaupun kes ini hanyalah satu siasatan daripada puluhan atau ratusan projek kendalian Kementerian Wilayah Persekutuan, nilai jutaan ringgit yang terbabit menimbulkan kegusaran rakyat – dan perlu disusuli dengan langkah pengawasan yang lebih ketat di bawah pemantauan pihak Menteri sendiri.

Dalam setiap kesakitan yang dibelenggu oleh denyut nasi rakyat, harapannya agar Menteri berusaha melunaskan tanggungjawab. Jika tidak, bersedialah Putrajaya untuk ditawan kembali oleh dua doktor bertauliah, serta barisan pejuang yang komited mengangkat suara rakyat di peringkat nasional.

Selamat Hari Wilayah!
___________________________
Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden Keadilan.