Malaysia Dateline

Jadikan nilai integriti sebagai kriteria asas dalam memilih kerajaan baru kelak

Perlumbaan ke garisan penamat semakin hampir dengan tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi untuk rakyat Malaysia membuang undi pada 19 November ini.

Semakin hampir ke garisan penamat itulah semakin rancak dan semakin “ganas” kempen yang dijalankan bagi menarik sokongan pengundi. Media sosial sarat dengan pelbagai mesej politik bertujuan memaparkan maklumat tentang tiga gabungan utama dan pada masa yang sama juga terdapat lebih banyak serangan terhadap pihak lawan politik.

Di tengah-tengah ini semua para pengundi yang kebanyakan tidak begitu mengikuti dunia politik secara dekat kecuali mereka yang mempunyai minat atau memang aktivis terpaksa membuat pilihan berdasarkan pengetahuan dan maklumat sedia ada dan yang mereka terima.

Pilihanraya kali ini adalah sama kritikal dengan pilihanraya umum yang lepas pada tahun 2018 kerana kedua-duanya merupakan medan pertembungan bagi menentukan jenis tatakelola negara -berasaskan nilai yang luhur iaitu integriti atau sebaliknya.

Walaupun terdapat banyak isu yang mesti ditangani seperti isu ekonomi dengan masalah kenaikan kos hidup, isu peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan, kesemuanya memerlukan suatu asas iaitu pemerintahan yang beramanah dan berintegriti.

Ini ditambah dengan keperluan memelihara keamanan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai etnik dan agama.

Persoalannya ialah sejauhmanakah pengundi kebanyakan menyedari dan meletakkan keutamaan kepada prinsip dan nilai integriti sebagai nilai utama dalam membuat pemilihan? Berapa ramai yang menyedari betapa ekonomi yang maju dan kuat amat berkait rapat dengan integrity di dalam sistem terutama sistem politik?

Jika ditinjau kepada keputusan pilihanraya yang telah diadakan dalam tempoh setahun yang lepas khususnya tiga pilihanraya negeri, iaitu Sabah, Melaka dan Johor nampaknya, persoalan nilai bukan menjadi keutamaan di dalam membuat pemilihan. Mungkin ini kerana isu imtegriti ditenggelamkan oleh isu-isu lain yang ditonjolkan sebagai lebih penting.

Selepas pemenjaraan bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak dan penerusan kes-kes berkaitan rasuah membabitkan pemimpin-pemimpin daripada Umno, isu integriti sepatutnya kembali diberi perhatian oleh rakyat.

Apatah lagi ada juga NGO seperti “Rasuahbusters” yang ditubuhkan khas bagi menimbulkan kesedaran tentang perlunya rakyat bertindak menolak rasuah dan pelaku-pelakunya. Dan dalam suasana seperti ini Parlimen pun bubar dan pilihanraya diadakan. Adakah kali ini rakyat akan bangkit menolak budaya rasuah secara menyeluruh?

Dilemma pengundi juga ditambah dengan tindak tanduk parti-parti yang bertanding. Misalnya Perikatan Nasional (PN) yang memaparkan slogan “bersih dan stabil” pada sepanduk dan bahan pilihanrayanya, namun PAS yang menganggotai gabungan ini masih mahu mengekalkan hubungan dengan Umno yang dilihat terpalit dengan rasuah dan rencat integritinya.

Bukan itu sahaja, apabila seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengarahkan ahli-ahli partinya untuk mengisytiharkan harta, pemimpin utama Pas menempelak tindakan itu dan menyifatkannya sebagai satu “kebodohan” sedangkan tujuan seruan itu sekadar untuk memberitahu rakyat tentang ketelusan pemimpin dan calon serta memudahkan pemantauan terhadap harta kekayaan mereka sekiranya menjadi pemimpin kerajaan.

Yang peliknya pemimpin utama Pas ini juga pernah menyokong usul pengisytiharan harta yang dibawa semasa persidangan Pas. Ini belum lagi kenyataan beliau yang memperkecilkan kehadiran dalam perbahasan di Dewan Rakyat yang dilihatnya sebagai “bukan kehadiran di sekolah”.

Maknanya ahli Parlimen yang tidak hadir di Parlimen secara konsisten tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi integriti. Dan Pas ditonjolkan sebagai “parti Islam”.

Sekiranya inilah pegangan ahli politik dan pemimpin parti politik, bagaimanakah orang awam mahu menerima nilai integriti sebagai nilai utama yang mesti dijadikan pertimbangan dalam membuat pemilihan dalam pilihanraya? Tambahan pemimpin-pemimpin seperti ini mempunyai ramai pengikut yang turut menyebarkan idea yang memperlecehkan integriti dalam masyarakat.

Tidak hairanlah kalau persoalan nilai baik seperti amanah, jujur dan berintegriti tidak berada dalam skala keutamaan ketika membuat keputusan siapa atau parti manakah yang patut dipilih untuk menerajui negara.

Justeru itu negara sentiasa dikejutkan dengan pelbagai skandal melibatkan urus tadbir. Walaupun majoriti rakyat menolak rasuah dan perlakuan menyeleweng dalam urus tadbir negara namun nilai integriti sebagai penentu dalam membuat pilihan semasa mengundi masih belum menyeluruh jika dilihat pada keputusan pilihanraya.

Adakah generasi muda yang bagi kali pertama akan mengundi kali ini boleh membawa arus baru yang segar untuk menolak segala bentuk salah laku berkaitan integriti. Ia harus diberi perhatian.


Penulis adalah Felo Kanan, Nusantara Academy for Social Research.