Malaysia Dateline

Jadikan pembangkang rakan kongsi tangani Covid-19, cadang DAP

Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melihat pihak pembangkang sebagai rakan kongsi dalam menangani Covid-19 dan memasukkan pembangkang sebagai sebahagian pihak pentadbiran bersama (co-governing) menerusi mekanisme dan jawatankuasa Parlimen.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, Perdana Menteri juga perlu mengelakkan daripada mengadakan pilihan raya umum pada waktu pandemik sebaliknya hanya mengadakannya setahun setengah dari sekarang selepas keadaan Covid-19 dijangka selesai dan ekonomi lebih baik.

“Adakah beliau bersedia untuk melihat pembangkang sebagai rakan kongsi dalam menangani Covid-19 dan menerima satu bentuk gencatan senjata? Adakah beliau akan melayan pembangkang dengan adil?

“Adakah beliau akan memasukkan pembangkang sebagai sebahagian ‘co-governing’ menerusi mekanisme dan jawatankuasa Parlimen, dan bersedia untuk memanggil pilihan raya setahun setengah dari sekarang apabila, mudah-mudahan, keadaan Covid-19 selesai dan kita mempunyai ekonomi lebih baik?

“Saya tidak tahu sama ada pihak yang mentadbir kini bersedia ke arah itu, namun itu sepatutnya menjadi penyelesaiannya,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di portal berita The Vibes baru-baru ini.

Jelas Chin Tong, pilihan raya umum diharap tidak diadakan pada waktu pandemik Covid-19 ketika ini dan sesiapa yang bersedia mengadakannya harus menerima kenyataan bahawa keputusan pilihan raya mungkin serupa dengan keadaan sekarang.

Beliau berkata, Malaysia telah menjadi sebuah masyarakat 50-50 atau ’50-50 society’ sejak 2008. Kata beliau, konteks 50-50 dari segi undi tersebut telah wujud sejak kebelakangan ini (for a while): dari segi kerusi, peluang untuk ia berkesudahan dengan keputusan yang hampir sama adalah sangat tinggi.

“Dengan bola sekarang di gelanggang Muhyiddin, persoalannya adalah apakah beliau bersedia untuk mengakui bahawa pada pilihan raya mendatang yang mungkin diadakannya, kemungkinan beliau akan berakhir dengan keputusan yang sama sambil dia tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri (finding himself out of office)?” soalnya.

Ditanya berhubung kerajaan perpaduan, Chin Tong berpendapat, perpaduan politik harus wujud dalam bentuk demokrasi berparlimen yang mana, “kita perlu sedari bahawa hari ini, anda mungkin menjadi pemenang dan esok, mungkin berada dalam pembangkang’. “Dalam situasi seperti itu, penting untuk mencari keseimbangan, mekanisme Parlimen untuk bekerjasama,” ujarnya.