Malaysia Dateline

Jadikan pemilihan Bersatu medan kuatkan parti, merealisasikan aspirasi PH

Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus menjadikan pemilihan parti sebagai medan untuk menguatkan parti dan bukan untuk meruntuhkan kekuatan yang ada, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang.

Katanya, kekuatan parti dan keutuhannya harus diberi keutamaan dan bukannya semata-mata untuk merebut kedudukan dan jawatan sahaja.

Yang penting ujarnya lagi, khidmat dan meneruskan agenda kerajaan Pakatan Harapan dalam kepedulian teerhadap rakyat khususnya golongan marhaen dan yang memerlukan.

“Pemilihan parti adalah suatu perkara yang harus dilaksanakan dengan bijak dan ia memerlukan kematangan dalam membuat pemilihan.

“Pilihlah mereka yang benar-benar ingin berjuang dan sanggup untuk menjadi lilin untuk menerangi kegelapan orang lain.

“Mereka yang sanggup menggadaikan segala kemewahan dan keselesaan demi rakyat dan golongan bawahan adalah pemimpin yang mesti diberi kepercayaan untuk terus menerajui kepimpinan samada di peringkat cawangan, bahagian, negeri maupun pusat, ” tegasnya

ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran dan mangsa kemalangan maut di Tasek Gelugor.

Menurut Azmi lagi, semua perwakilan perlu melihat dan membuat perhitungan yang bijak dalam memilih pemimpin.

Malah ujarnya kesilapan memilih pimpinan akan memberi impak yang buruk dalam tempoh yang panjang sekiranya segala aspirasi parti dan Pakatan Harapan tidak dapat direalisasikan.

“Mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga serta apa jua kepentingan yang ada demi rakyat dan masyarakat adalah pemimpin yang mesti diberi keutamaan.

“Jangan pilih mereka yang mempunyai kecenderungan untuk mendapat habuan dan ganjaran, sebaliknya tidak mempedulikan keperluan dan masalah rakyat.

“Buktikan bahawa Bersatu dan pimpinan yang dipilih memperjuangkan nasib semua golongan masyarakat dan amat jauh bezanya jika dibandingkan dengan pembangkang sedia ada, ” tambah beliau lagi.