Malaysia Dateline

Jadikan perasaan ‘malu’ sebagai pendorong untuk maju, kata Adly

Perasaan malu untuk gagal harus dijadikan sebagai dorongan buat rakyat negeri ini untuk bangkit melakukan kerja dan amanah yang diberikan bagi membina sebuah negara maju, persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata perasaan malu dalam kalangan rakyat Jepun membangunkan negeri dan juga negara mereka hingga ke tahap hari ini perlu diambil contoh sebagai nilai dalam kehidupan rakyat untuk terus maju ke hadapan.

Bagaimanapun, katanya sejak kebelakangan ini, terdapat satu budaya baharu terutama dalam kalangan generasi muda yang diberi nama ‘malu apa bossku’ perlu dinilai sebaiknya dan tidak diterima bulat-bulat oleh rakyat.

“Sifat malu adalah sifat yang mesti ada dalam masyarakat kita seperti mana yang terdapat dalam masyarakat Jepun yang malu dengan kesalahan yang mereka lakukan dan bertanggungjawab ke atasnya,” katanya ketika menggulung sesi penangguhan persidangan itu di Seri Negeri di sini hari ini.

Sementara itu ketika bercakap di luar persidangan itu, Adly berkata kerajaan negeri harus memaklumkan kepada rakyat bahawa  PH Melaka  telah melaksana 73 peratus tuntutan daripada janji manifesto yang berjaya ditunaikan.

Adly berkata apa yang paling penting adalah kerajaan dapat tunaikan janji dan yang paling utama ialah bagaimana ia dapat dinikmati oleh rakyat menerusi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk rakyat.

“Yang paling penting dalam tempoh ini ialah kita tingkatkan hasil kerajaan negeri, berjaya mengurangkan hutang dan pada masa yang sama juga adalah meneruskan projek utama seperti menguruskan air, sampah dan perbaiki sistem jalan raya.

“Saya yakin sekiranya semua perancangan dapat dijalankan pada tahun hadapan dan tahun berikutnya ia mampu membawa Melaka ke satu garis baharu dalam koleksi antara negeri-negeri yang berjaya di negara ini,” katanya.

Terdahulu pada persidangan itu, Speaker DUN Melaka Datuk Omar Jaafar menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.– BERNAMA