Malaysia Dateline

Jadikan PGK baharu panduan gubal dasar basmi kemiskinan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyeru agar kerajaan menjadikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan pengelasan baharu isi rumah sebagai panduan bagi menggubal dasar berkaitan pembasmian kemiskinan.

Presiden Ikram, Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index) yang merangkumi aspek-aspek taraf hidup, pendidikan dan kesihatan perlu dijadikan sebagai pengukur utama kadar kemiskinan di negara ini.

Menurutnya, pendekatan upah wajar (living wage) juga perlu diterima pakai untuk menentukan kumpulan yang memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Upah wajar yang digunakan hendaklah mengambil kira kos sara hidup yang berbeza bergantung kepada lokasi dan demografi.

“Ikram mengambil maklum hasil kajian berhubung upah wajar yang telah dilaksanakan oleh Bank Negara, KWSP (Belanjawanku) dan ahli-ahli akademik,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ikram mencadangkan pendekatan penggubalan dasar berdasarkan bukti (evidence-based policy making) dijadikan sebagai pendekatan utama dalam inisiatif-inisiatif membasmi kemiskinan.

Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan pusat dengan institusi-institusi zakat di negeri-negeri juga, katanya, perlu ditingkatkan supaya penyaluran bantuan dapat diselaraskan dan sumber yang terhad dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Bagi tujuan penyelarasan semua inisiatif, ujar Mohd Parid, satu institusi khusus bagi membasmi kemiskinan bagi menyelaraskan semua inisiatif dengan lebih tersusun.

“Sebagai NGO yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Malaysia dan melaksanakan pelbagai program kebajikan di peringkat akar umbi, Ikram bersedia menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” tambahnya lagi.