Jadikan Pulau Pinang Wilayah Persekutuan bertentangan perlembagaan

Jadikan Pulau Pinang Wilayah Persekutuan bertentangan perlembagaan

Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor cadangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan ditentang keras Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Melahirkan rasa terkejut dengan cadangan itu, Guan Eng menyifatkan cadangan itu sebagai satu tipu helah dan tidak masuk akal memandangkan tiada sebarang perbincangan di buat dengan kerajaan pimpinannya.

“Saya takkan jual Pulau Pinang. Hanya orang yang hilang akal akan cakap macam ini.

“Nak serahkan satu negeri jadi Wilayah Persekutuan ini tak masuk akal, pelik dan amat janggal. Pulau Pinang takkan bincang mengenai perkara ini,” tegasnya.

Cadangan Tengku Adnan itu juga, jelas beliau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengancam perpaduan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Ini boleh dianggap sebagai hasutan. Sebab anda mengancam perpaduan persekutuan Malaysia,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut beliau Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan bahawa negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu merupakan negeri-negeri dalam persekutuan.

Selain Pulau Pinang, Ku Nan yang juga Setiausaha Agung Umno juga mencadangkan Langkawi dan sebahagian dari Melaka untuk menjadi Wilayah Persekutuan.

Beliau turut dilaporkan berkata bahawa negeri-negeri tersebut akan berasa gembira untuk diserahkan sebagai Wilayah Persekutuan kerana akan mendapat perhatian dan peruntukan yang lebih dari kerajaan.

“Kami tidak gembira langsung dan kami tidak mahu menyerahkan satu negeri jadi Wilayah Persekutuan. Ini tidak boleh diterima.

“Saya nak nyatakan di sini bahawa saya tidak mahu jadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang terakhir,” tegasnya.

Guan Eng turut mempertikaikan kenyataan Tengku Adnan bahawa negeri yang diberi status Wilayah Persekutuan akan mendapat peruntukan yang banyak sedangkan kementerian terbabit tidak mempunyai wang yang mencukupi antaranya akibat skandal 1MDB.

“Khazanah Malaysia sudah kering kontang, malah RM50 juta yang dijanji kepada SRJK pada 2016 sehingga tahun ini pun tak boleh bagi. Mana ada wang lagi kalau RM50 juta pun tak ada!” tegas Guan Eng.

Beliau percaya negeri seperti Kedah dan Melaka juga tidak mahu menyerahkan sebahagian kawasannya untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

“Pulau Pinang takkan bincang mengenai perkara ni. Saya terkejut dengan kenyataan bahawa kita akan gembira (jika serah negeri jadi Wilayah Persekutuan).

“Macam mana kita boleh gembira, runding pun tidak? Macam mana kita boleh gembira apabila kita rela jadikan negeri kita pupus?” soalnya lagi.

Tindakan Ku Nan itu kata Guan Eng umpama seorang penjajah yang mahu meluaskan empayar kekuasaannya.

“Dia macam seorang penakluk. Menakluk bebrapa wilayah untuk menambah empayarnya iaitu empayar Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya lagi.

TAGS