Malaysia Dateline

Jadikan Ramadan titik mula lanskap politik bersih dan integriti, titah Agong

Seri Paduka YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Baginda mengambil kesempatan menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan amalan soleh.

“Umat Islam diseru untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan,” katanya.

Sehubungan itu, Baginda turut menasihati ahli politik negara untuk merapatkan saf dan bergandingan bahu memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Ahli-ahli politik perlu menjadi role model kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan lanskap politik yang lebih bersih beradab dan berintegriti,” titah Baginda dalam kenyataan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sehubungan itu, Baginda menasihatkan ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika rakyat bergelut dengan COVID-19, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemuihan ekonomi negara.

“Baginda menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan yang mendukung prinsip keluhuran perlembagaan persekutuan akan terus dipelihara di negara ini,” katanya.

Titah Baginda, keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini sewajarnya diberikan kepada usaha melawan CIVID-19 dan tindakan-tindakan alternatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara menerusi insiatif-inisiatif kerajaan termasuk program Imunisasi COVDI-19 kebangsaan.

Justeru, Baginda menasihatkan pengajur-penganjur majlis sepanjang Ramadan mematuhi SOP dan perintah kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Begitu juga barisan hadapan, menurut Baginda supaya tabah menjalani ibadah puasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baru dalam usaha memutuskan rantaian COVDI-19.