Malaysia Dateline

‘Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan bangsa Melayu’ – Ini doa Mufti pertama Negeri Sembilan 65 tahun lalu

Mufti pertama Negeri Sembilan sejak 65 tahun lalu telah membaca doa yang awal-awal lagi memohon supaya pemimpin dan ahli politik di tanah air ini menjadi agen perubah dalam memajukan bangsa Melayu.

Doa Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964) itu dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957.

Maksud doa pemimpin Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Al-Rashidiyyah itu dilihat wajar kembali dihayati calon bertanding dan 21.1 juta pengundi termasuk 7.8 juta pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Al-Marhum Tuan Haji Ahmad Mohd Said ketika memimpin bacaan doa pada hari pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka.

Berikut maksud doa Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad yang dipetik dari laman sesawang Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan:

“Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

“Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.

“Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia.

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

“Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati.

“Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan.

“Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

“Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan.

“Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakan.

“Ya Allah! Awasilah dengan penglihatan-Mu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan benteng-Mu yang tidak mudah diterima.”

*Doa ini dibaca Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957.

Baca juga ‘Menarik rambut dalam tepung’ rupanya ada kaitan mati, ini 10 peribahasa Melayu jati buat bakal jenazah

Baca juga Dihidang hanya mi kosong dengan sos ikan – Ini sebab pengetua tadika dipenjara 50 tahun