Malaysia Dateline

Jadilah pemimpin yang berprinsip

Ucapan Bahas Belanjawan 2022

Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kesempatan mewakili Parit Buntar dalam bahas Bajet 2022 di dewan yang mulia ini.

Sewajarnya, dalam memahami senario politik yang melanda negara kita, kita harus kembali kepada menghayati firman Allah:

اعلم ان الله على كل شيء قدير و ان الله قد احاط كل شيء علما و احصى كل شيء عددا

Bagi memenuhi sunnatullah, kita yang ada di persada kuasa dituntut memastikan bahawa kuasa itu ditundukkan di bawah prinsip nilai dan kita hanya hamba kepada menjayakan prinsip-prinsip ini.

Sebagai memenuhi khidmat kepada prinsip seperti Keadilan, Kesaksamaan dan Kebebasan kita juga perlu mendidik rakyat supaya mereka hanya akan menyokong selagi kita berkhidmat kepada prinsip-prinsip tersebut.

Rakyat berhak menolak kita jika kita gagal memelihara nilai prinsip yang menjadi tonggak kepada kejayaan kuasa.

Malangnya, kita di sini menjadi hamba kepada kedudukan, kuasa dan kepentingan diri sehingga kita telah membuat satu kes awalan yang keji dan tidak ada lagi sifat malu sehingga menyerlahkan niat kita dialaskan atas sebab agama dan kaum.

Rakyat bukan jahil kerana pepatah ada menyatakan “sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina”.

Kita mengelirukan rakyat sehingga badi pengkhianatan mandat telah menghukum semua kita walaupun ada dalam kalangan kita yang masih berbaki kompas moralnya mempertahankan nilai prinsip berkuasa.

Kita mengaibkan diri sendiri dan memberi isyarat yang silap kepada generasi akan datang dengan mendefinisikan politik sebagai tujuan untuk berkuasa dan memenuhi kehendak nafsu sendiri lalu jadilah kuasa sebagai matlamat dan bukan wasilah untuk memberi khidmat kepada prinsip nilai pemerintahan yang mulia.

Kita dibenci dan dimomok, kita hilang deposit kepercayaan dari rakyat. Ini sangat bahaya kerana ia akan menjejaskan peranan institusi politik dan keperluan parti politik untuk berkhidmat kepada prinsip yang lebih tinggi kedudukannya daripada diri kita.

Menyedari dan menginsafi hal ini, PH mengambil sikap membetulkan keadaan dengan langkah awal meredakan dahulu suhu politik melalui MoU berprinsip dengan PM.

Namun, “old habit dies hard” langkah kami dibalas dengan pergolakan di Melaka, walau apa pun alasannya pergolakan ini telah membuka lagi luka yang belum lagi sembuh. Presiden AMANAH menyebutnya sebagai PRN yang dipaksa.

Saya beralih kepada isu Kelestarian. Dasar Lestari perlu dipacu secara kerangka menyeluruh dan bukan tempelan-tempelan kerana dalam banyak hal pertembungan antara kepentingan alam sekitar dan para pemodal yang tamak, kepentingan alam sekitar akan menjadi mangsa mengalah.
Kerakusan para kapitalis tamak yang memangsakan alam sekitar hanya akan menimbulkan kemarahan alam yang akan ‘membalas dendam’ mengancam kehidupan manusia.

Isu penerokaan hutan bakau di Sungai Betul Parit Buntar seluas 200 hektar yang merupakan zon penampan tsunami adalah contoh.

Bagaimana Perbadanan Pertanian Perak boleh meluluskan zon penting ini kepada pemaju sebagai projek akuakultur?

Apakah komitmen kita di Persekutuan untuk menjamin kelestarian alam sekitar jika kita tidak dapat membela nasib hutan bakau yang semakin pupus akibat akuakultur?

Akhirnya, janganlah kita merasakan kita memiliki bumi ini. Kita hanya meminjam daripada generasi selepas kita supaya mereka dapat mewarisinya dengan selamat kelak.

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Naib Presiden AMANAH dan Pengerusi PH Negeri Perak.