“Jadilah sahabat yang jujur di depan dan belakang”, Fazura tuju pada siapa?

Oleh KIM SYAZIE

Umum tahu, baru-baru ini perang dingin antara aktres Nur Fazura dan Noor Neelofa mula menjadi bualan ramai selepas Neelofa mengambil langkah pertama menzahirkan niatnya mahu berbaik.

Selepas beberapa sesi balas membalas kenyataan di media, masih tidak dapat dipastikan kejernihan hubungan dua aktres jelita tersebut.

Paling terbaru, isteri kepada Fattah Amin memuat naik satu perkongsian buat diri sendiri dan pengikutnya di laman sosial tentang perasaan ikhlas dan jujur dalam sesebuah persahabatan.

Menerusi hantaran yang dikongsikan dalam Instagram miliknya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, percaya bahawa sahabat yang mempunyai niat tidak baik pasti akan terbongkar suatu hari nanti.

“Jadilah sahabat yang jujur dan ikhlas di depan dan di belakang. Kerana apa sahaja permainan berniat tidak baik, pasti akan terungkai pada sahabat yang sentiasa ikhlas padamu,” katanya.

Usahawan berpengaruh itu turut memberi kata-kata nasihat agar pengikutnya di Instagram untuk elak daripada rasa cemburu kerana ia boleh memecah belahkan sesebuah persahabatan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai pengikutnya di platform itu bersetuju dengan apa yang dikatakan Fazura atau mesra dengan panggilan Faz.

Ada yang berkongsi pengalaman mereka sebelum ini bersahabat dengan individu yang mempunyai tingkah laku yang tidak baik dan menganiaya kawan sendiri.

Segelintir individu akui suka membaca perkongsiannya di laman sosial tersebut kerana sentiasa berfikiran positif dan menyebarkan kebaikan.

Baca juga: “Suami tuduh aku ada hubungan dengan tok kadi, rupanya nak tutup dia curang, baru dua hari kahwin dah naik tangan…”