Jaguh pecut Malaysia Azeem Fahmi jadi bualan di AS, kenapa?

Oleh KIM SYAZIE

Nama jaguh pecut Malaysia, Azeem Fahmi menjadi bualan di Amerika Syarikat (AS) selepas pelari pecut itu disenaraikan dalam kelompok 10 pelari terpantas dalam sejarah Universiti Auburn.

Ia selepas Azeem berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter sebanyak dua kali dalam tempoh kurang sebulan, meletakkan dirinya dalam kelompok 10 atlet terbaik.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu mencatatkan larian 6.56 saat, memadam rekod miliknya 6.60s dalam perlumbaan akhir Southeastern Conference Indoor Track and Field Championships di Amerika Syarikat.

“Makin pantas. Azeem Fahmi kini menduduki tangga kelapan Senarai 10 Pelari Terbaik Auburn untuk acara 60 m,” kata pengurusan universiti itu dalam satu perkongsian di X.

Rekod baru yang dilakar Azeem turut menggembirakan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard.

“Kami amat teruja dengan Azeem Fahmi dan kesan dibawanya kepada semua orang dalam sukan olahraga di sini,” katanya memetik Makan Bola.

“la sentiasa bagus apabila seseorang memecahkan rekod kebangsaan dan ia menunjukkan kita memiliki ramai bakat yang akan muncul secara berterusan.

“Kami melihat ke depan, dia baru berusia 21 tahun dan kami amat teruja mengenai prospek masa depannya.”

Meskipun ada yang berharap Azeem dapat bersaing dalam Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2025, jaguh pecut itu dijangka fokus untuk saingan NCAA 2025.

Baca juga: Wanita kesal dipecat hanya kerana solat cecah 20 minit di pejabat, surat amaran pun tak beri!