JAIM,MAIM kaji kemasukan penceramah luar ke Melaka

K

JAIM,MAIM kaji kemasukan penceramah luar ke Melaka

Datuk Seri Idris HaronKerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) akan mengkaji secara terperinci kemasukan penceramah luar yang dilihat semakin berleluasa sejak 2015.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata situasi berkenaan boleh memberi impak negatif terhadap Melaka antaranya penceramah tempatan di negeri ini tidak layak atau mampu mengajar dan memberi ceramah agama.

“Kita akan menetapkan syarat lebih ketat terhadap kemasukan penceramah luar bagi membendung isu negatif timbul. Berdasarkan rekod, sebanyak 157 penceramah luar termasuk dari Indonesia, Libya, Pakistan, Syria, Thailand, Yaman, Mesir, Lubnan, Singapura, India, Iraq dan Jordan dikesan memasuki Melaka sejak 2015.

“Kawalan yang lebih ketat oleh Jaim dan Maim  perlu untuk menapis ajaran penceramah luar ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata langkah itu penting kerana pihaknya khuatir penceramah yang masuk ke negeri ini menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan polisi atau undang-undang kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata komunikasi juga antara faktor kerana penggunaan bahasa Arab yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh kebanyakan penceramah luar mungkin membawa maksud berbeza dan disalah erti.

Sementara itu, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kerana dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Beliau berkata pihaknya turut terharu dan berbangga dengan pengurniaan darjah berkenaan kerana Allahyarham juga ialah bekas Ketua Menteri dan namanya sinonim dengan negeri tersebut (Melaka).

“Saya menghargai kepimpinan Wilayah Persekutuan termasuk Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham.

“Saya dan barisan Exco serta seluruh rakyat Melaka berasa gembira dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih,” katanya.

Allahyarham Abdul Ghafar yang pernah menjadi Ahli Parlimen Jasin pada 1995 dan Ahli Parlimen Batu Berendam pada 1999, mengetuai senarai 375 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.