Malaysia Dateline

JAIPs didakwa pecat 25 imam dari empat masjid, 10 lagi ditukar?

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) memecat 25 imam di negeri itu manakala 10 lagi ditukar melalui surat bertarikh 31 Disember 2018.

Berkuat kuasa Selasa lalu, surat itu dilihat dibuat tergesa-gesa berikutan tiada nombor rujukan dan alasan pemecatan tidak diberi.

Sumber yang dipetik oleh  bharian online itu,  juga menyifatkan tindakan tersebut “pelik” kerana imam terbabit “disukai dan dipersetujui ahli kariah” dan memartabatkan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mereka juga diberi amaran supaya tidak memalukan pihak berkuasa agama negeri atau imam terlibat tidak akan menerima bayaran sagu hati.

Imam yang dipecat adalah dari Masjid Batu 2, Masjid Kampung Guar Syed Alwi, Masjid Santan, Masjid Telok Jambu dan Masjid Padang Katong.

Beberapa kariah dikatakan mahu membawa isu itu ke peringkat kerajaan negeri berikutan mereka tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan.

Sementara itu, jemaah Masjid Santan mahu mengadakan bantahan secara aman selepas solat Jumaat esok susulan pemecatan tersebut.