Malaysia Dateline

Jais lancar program khas ‘Jom Daftar Nikah’ bermula 1 Ogos

 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan melancarkan program khas Jom Daftar Nikah terbuka kepada pasangan Islam yang bernikahsebelum 1 Jan 2017 tetapi belum mendaftarkan perkahwinan mereka.

Pengarahnya Datuk Haris Kassim berkata program selama tiga bulan bermula 1 Ogos ini khusus kepada pasangan bermaustautin di Selangor yang gagal mendaftarkan pernikahan mereka mengikut peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Pendaftaran nikah pasangan suami isteri yang mengikuti program ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 120 hari, katanya kepada pemberita di hari ini.

Menurutnya program khas itu dibuat berikutan peningkatan jumlah kes pasangan suami isteri yang berkahwin tanpa mendaftarkan secara sah perkahwinan mereka mengikut enakmen itu.

Mengikut statistik, pada tahun 2015 sebanyak 1,708 kes berkahwin tidak mengikut enakmen berkenaan direkodkan dan jumlah itu kemudian meningkat kepada 1,938 kes pada 2016. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 796 kes telah direkodkan.

“Mereka yang tidak berkahwin mengikut enakmen ini antaranya pasangan yang berkahwin secara rahsia kerana mendapat tentangan keluarga, berkahwin tanpa permohonan atau kebenaran daripada pendaftar dan perkahwinan di luar Selangor oleh wali hakim yang meragukan,”katanya.

Haris berkata perkahwinan yang tidak mengikut enakmen ini mempunyai pelbagai implikasi negatif, antaranya tidak mempunyai dokumen pernikahan yang sah, kesulitan untuk mendaftarkan kelahiran anak berikutan ibu bapa tiada sijil nikah dan berkemungkinan pernikahan itu tidak sah.

Menurutnya sekiranya berlaku perceraian atau kematian,sebarang tuntutan ke atas harta peninggalan dan harta sepencarian tidak dapat dilakukan kerana hak isteri serta anak tidak diiktiraf di mahkamah berikutan pernikahan itu tidak didaftarkan.

Sesiapa yang bernikah tanpa mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, katanya.

Haris berkata melalui program ini individu terbabit perlu hadir ke pejabat Jais di daerah masing-masing, dengan membawa dokumen sokongan pernikahan seperti kad pengenalan suami isteri, pasport sebagai bukti perjalanan jika bernikah di negara jiran dan Akuan Pengesahan Permastautinan di Selangor.