Jais langgar titah Sultan, berpolitik dalam masjid

Jais langgar titah Sultan, berpolitik dalam masjid

AMANAH Negeri Selangor mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melanggar titah Sultan yang menasihatkan institusi itu supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam program politik mana-mana parti dan kekal sebagai institusi yang berkecuali dan fokus kepada pengembangan Islam.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Pengerusi Biro Dakwah AMANAH Selangor Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, hal itu jelas apabila Jais gagal memastikan program yang diadakan di massjid di negeri itu tidak disalah guna oleh ahli-ahli panel dan penceramah jemputan untuk tujuan politik tertentu.

Beliau mengulas Program Wacana Isu Semasa Dan Perundangan Peringkat Negeri Selangor yang bertajuk Ancaman Semasa Umat Islam (Pemikiran, Dakyah Dan Penyelewengan) anjura Jais pada 28 September lalu di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Menurutnya, penceramah yang membentangkan kertas kerja dalam program berkenaan iaitu Mohammad Naser bin Disa bukan sahaja gagal memanfaatkan program berkenaan untuk menerangkan secara ilmiah dan berfakta tentang ancaman semasa umat Islam tetapi dengan jelas menggunakan pogram itu untuk menfitnah dan memburuk-burukkan nama pemimpin politik daripada Pakatan Harapan.

“Nama-nama pemimpin disebut secara terbuka dan dibuat pelbagai tuduhan menyebabkan berlaku ketegangan sesama hadirin yang hadir. Dan sebahagian para hadirin ada yang terus meninggalkan dewan masjid berkenaan.

“Seperkara lagi kertas kerja yang disediakan tidak digunakan untuk perbincangan sebaliknya perkara-perkara lain yang berkait dengan politik kepartian pula yang diketengahkan,” katanya.

Menurut Fakhrulrazi juga, dua wakil pimpinan AMANAH Selangor yang turut hadir dalam program berkenaan sebagai jemputan telah menggunakan ruang yang ada untuk menegur ahli-ahli panel berkaitan namun mereka tetap berdegil dan terus membuat fitnah dan tohmahan tersebut.

Justeru AMANAH Selangor menggesa pihak berwajib menyiasat perkara ini dan mengambil segala langkah perlu supaya program sebegini tidak berulang lagi dan bersedia membantu dalam siasatan.

“Semua ini kami lakukan bagi menjaga imej Jais supaya tidak tercemar oleh kalangan tertentu yang ingin menangguk di air keruh,” katanya.