Jais pantau premis makanan sepanjang bulan Ramadan

Jais pantau premis makanan sepanjang bulan Ramadan

 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal komited untuk melakukan pemantauan serta penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan dalam memastikan kesucian bulan itu terpelihara.

Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata antara aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan adalah seperti pemantauan terhadap premis yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka atau di tempat awam pada waktu siang.

“Ini termasuk penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa. Adalah menjadi satu kesalahan apabila individu beragama Islam didapati menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap sepanjang bulan Ramadan.

“Individu ini boleh disabitkan di bawah Seksyen 19, Tidak Menghormati Ramadan, Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Bahagian Pengurusan Halal juga komited untuk memastikan tiada individu atau premis syarikat yang mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa ‘Buffet Ramadan’ tetapi tidak memiliki Pensijilan Halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Haris berkata, pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan ungkapan atau penandaan ‘Halal’ yang boleh mengelirukan umat Islam.

“Penyalahgunaan ungkapan atau penandaan Halal merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan bagi mereka yang disabitkan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000, dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya boleh didenda maksimum RM500,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para peniaga dan pengusaha industri makanan yang belum mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya mengemukakan permohonan Pensijilan Halal dengan segera bagi membolehkan promosi ‘Buffet Ramadan’ dilakukan dengan tatacara yang telah ditetapkan.

Pihak Jais juga tegasnya, tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan ungkapan atau penandaan Halal bagi memastikan umat Islam tidak terpedaya.

Orang awam boleh berhubung dengan pihak JAIS di talian 03-55143760 / 3486 bagi melaporkan sebarang keraguan terhadap Sijil Pengesahan Halal yang dipamerkan di premis-premis makanan bagi membanteras penyalahgunaannya.- BERNAMA