Malaysia Dateline

‘JAIS suruh naik van hitam’

Mariam Abdul Rashid

Tanpa menyebut sama sekali tentang politik kepartian mahupun kempen untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika berceramah di luar Surau Taman Paya Jaras Permai, beliau didesak untuk menaiki van penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Naib Pengerusi 2 AMANAH Selangor, Ustazah Mariam Abdul Rashid berkata, beliau hanya menyentuh tentang sirah Nabi sesuai dengan program Ceramah Khas Maulidur Rasul Wanita di Sungai Buloh itu.

“Baru-baru ini JAIS tahan saya. JAIS suruh naik van penguatkuasa. Katanya (JAIS) mahu ambil keterangan dan siasatan.

“Saya sentuh sirah tiada ucapan politik. Sebahagian ucapan saya adalah berkaitan tugas saya wakil PBT iaitu tentang pengurusan sampah dan kebersihan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ustazah Mariam didesak menaiki van penguatkuasa JAIS untuk siasatan baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 23 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu berkata, tindakan JAIS itu tidak wajar memandangkan beliau adalah ahli majlis di kawasan tersebut.

“Saya enggan beri kerjasama pada JAIS (naik van penguatkuasa). Yang hairannya, pegawai-pegawai JAIS itu menyamar dan sengaja biarkan saya ceramah.

“Saya difahamkan itu memang SOP (prosedur operasi standard) mereka. Sepatutnya, dia (JAIS) boleh minta saya berhentikan saya daripada meneruskan ceramah,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ustazah Mariam yang juga Naib Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganggap kes tersebut selesai apabila telah diajukan kepada pihak kerajaan negeri.

“Saya sudah rujuk kepada Jawatankuasa Khas Exco Agama Selangor, YB Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar,” ujarnya lagi.