Malaysia Dateline

Jajaran politik baharu!

Apakah yang akan berlaku sebelum parlimen mula bersidang pada 26hb Julai hingga 29hb Julai selama 5 hari bagi Dewan Rakyat dan diikuti dengan Dewan Negara mulai 3hb Ogos hingga 5hb Ogos. Parti keramat Umno pula telah menetapkan memberi ‘kata-dua’ kepada kerajaan selama 14hari untuk mengisytiharkan parlimen bersidang dan tarikhnya berakhir pada 4hb Julai 2021.

Namun setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi Umno mengenai pendirian rasmi terkini Umno. Dan pelbagai spekulasi beredar didunia maya mengenai pendirian pelbagai dikalangan Ahli Parlimen (MP) Umno, ada yang dikatakan membentuk ‘pakatan’ untuk terus mendokong kerajaan PN sehingga parlimen dibubarkan dan PRU15 diistiharkan.

Ada juga yang dikatakan telah menandatangani satu akuan berkanun (SD) menyokong Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (H2O) sebagai PM menggantikan Tan Sri Mahaaddin dan yang terakhir ada ‘pakatan’ yang ingin menobatkan Datuk Seri Ismail Saberi sebagai PM setelah usaha menobatkan H2O dikatakan tidak mendapat restu MT Umno. Semua ini berita di alam maya yang tiada kepastian dan tidak boleh pula disahkan.

Pada tahap ini sebenarnya kedudukan Umno sebagai parti keramat sedang dicabar dan diperhatikan oleh rakyat akan pendiriannya untuk menjadi peneraju semula politik Malaysia pasca PRU14, selepas tergelimpang tewas bersama sekutunya di dalam Barisan Nasional (BN). Walaubagaimana pun sebenarnya Bersatu juga tidak mempunyai kekuatan dengan hanya memenangi 13 kerusi dari 52 kerusi yang ditandingi dalam PRU14.

Keputusan itu menggambarkan juga Bersatu bukanlah setanding dengan kegagahan UMNO dikalangan masyarakat Melayu. Bersatu juga tidak memiliki jentera sokongan pilihanraya berbanding Umno atau PKR. Yang memberi pertambahan kerusi kepada Bersatu kemudian adalah hasil lompatan 9 orang MP Umno. Kemudian diikuti melalui Langkah Sheraton seramai 10 orang dari PKR yang mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14 turut menyertai Bersatu.

Dari segi kekuatan Bersatu tidak memposisikan parti tersebut mempunyai kekuatan khusus melainkan terhasil dari lompatan MP daripada parti lain. Lompatan ini tidak lain dan tidak bukan kerana pada awalnya kebimbangan sesetengah MP dikatakan mengenai ‘fail berkaitan rasuah dan terimaan wang 1MDB’ dan sebahagian yang lain kerana melihat ‘peluang’ untuk mengekalkan diri sebagai Menteri, Timbalan Menteri atau habuan mengetuai GLC apabila terbentuknya kerajaan PN.

Turut menagguk di air keroh adalah Pas yang hanya memenangi 18 kerusi dari 157 kerusi yang ditandingi dalam PRU14 sedangkan berkeyakinan memenangi PRU dengan angka yang tinggi (dengan pelbagai jangkaan berubah-ubah). Walaupun mengekalkan Kelantan sebagai tapak utama parti tersebut dan merebut kembali Terengganu yang jelas kerana tiada kesatuan dikalangan pimpinan Umno/BN Trengganu. Senario kali ini pasti berubah sekiranya Umno/BN bangkit membina semula kesatuan dan solidariti di kalangan kepimpinan dan ahli.

Berbalik kepada Umno secara keseluruhannya, saat ini merupakan saat getir dalam menentukan pendirian. Dengan ketaksuban dan politik tidak mahu berubah di kalangan ahli Umno mungkin menyukarkan kepimpinan Umno membuat keputusan tegas. Ditambah dengan momokan berterusan mengenai kluster mahkamah dan serangan psikis bertemakan perompak dan pencuri mungkin menyukarkan MT Umno membuat pendirian tegas mengenai jajaran politiknya.

Apapun, Umno perlu mara ke hadapan dan memikirkan masa hadapannya yang lebih gemilang. Ahli Umno perlu berubah dan bersedia bertindak dengan satu keputusan drastik yang besar sebagai negarawan bukan hanya kerana ketamakan kuasa dan kehalobaan terhadap projek dan harta ghanimah.

Politik dialaf hadapan ini adalah politik bersih, membawa negara bebas rasuah, membangun kembali kekuatan ekonomi dan industri, menyediakan pelan pembangunan pertanian, sumber manusia berteknologi tinggi alaf baharu, infrastruktur ICT kelas pertama, pendidikan tanpa sempadan disemua peringkat dan pembinaan masyarakat madani.

Apa yang sedang berlaku kini adalah pengikisan semua elemen semak-imbang, kepimpinan yang tiada arah dan strategi dan negara yang amat terumbang-ambing dari sudut capaian ekonomi.

Umno dan ahlinya tidak lagi boleh berfikir bahawa HANYA Umno kerana semua pihak mempunyai peranan besar untuk negara ini bangkit semula. Jadi bangkitlah bersama dengan pasukan jajaran baharu yang berjiwa rakyat dan demi negara.

Penjajaran politik yang dipilih oleh Umno sangat genting dan penting. Ia memerlukan nafas panjang. Sekiranya silap dalam pemilihan dan percaturan maka Umno mungkin akan melemah dan akhirnya sukar untuk bangun kembali. Untuk mengharapkan Bersatu/PN akan mengakibatkan Umno terpinggir dan malah tidak didengar sedikit pun.

Apatah lagi untuk mengharapkan MCA dan MIC yang kelibat nya sekalipun sukar dilihat dipersada politik rentas kaum ketika ini. Namun peranan mereka tidak juga boleh dikesampingkan. Namun peranannya mungkin tidaklah boleh sebesar dahulu kerana MCA dan MIC juga perlu membina semula kekuatan dan imejnya, serta turut berubah seiring dengan perubahan minda masyarakat berbilang dan rentas kaum di Malaysia.

Penjajaran politik ini sangat penting bukan sahaja buat Umno tetapi juga buat semua entiti politik di Malaysia. Pimpinan politik perlu memikirkan membangun semula negara pasca COVID-19 dan membina semula kekuatan ekonomi, pendidikan, peruncitan, SME, SMI, sistem pertahanan dan ruang udara, menjadi hub pelabuhan dan hub penerbangan, melonjakkan hasil pertanian dan keselamatan makanan, pendidikan dan keselamatan negara. Melebarkan pertelagahan politik tidak akan memberi faedah kepada pembinaan bangsa Malaysia dan masyarakat madani.

Satu gerakan politik jajaran baharu perlu diluncurkan mengatasi politik semasa yang amat longlai dan tidak diketahui arah tujuan. Apakah jajarannya? Semua kepimpinan politik perlu berlapang dada dan jangan hanya memikirkan ‘tembolok’ masing-masing tapi fikirkanlah rakyat dan negara. Persidangan parlimen akan datang amat penting bagi menentukan pendirian terbaik dan gemilang bagi masa hadapan bangsa Malaysia.

Kekal dengan keadaan semasa dan hanya mengangguk dengan pembentangan yang mungkin bakal dilakukan oleh PM akan merugikan rakyat dan negara dan kita tidak akan beranjak walau selangkah pun untuk maju kehadapan. Rakyat memerhatikan anda semua, Umno perlu menentukan pendiriannya tanpa berdolak dalik dan sekejap maju dan sekejap mundur! Bersedialah untuk bergerak kehadapan!
—————-
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan dan tulisan ini adalah analisis peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.