Malaysia Dateline

JAKIM akan pertingkat pemeriksaan premis pengimport daging

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis pengimport daging, pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta rumah penyembelihan.

Langkah itu antara usaha bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Melalui Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, JAKIM akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, selain pengimport dan pengedar daging.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata JAKIM sudah, sedang dan akan menggerakkan tindakan bagi menangani isu daging import, termasuk mengadakan perbincangan serta mesyuarat dengan pihak yang terbabit dari semasa ke semasa.

“Lawatan ke rumah penyembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan. SOP terbaru (proses pensijilan halal) dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, terdapat enam pelan tindakan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, yang pertama adalah perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Fokus perbincangan ini bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan fungsi masing-masing.

“Antara isu yang akan dibincangkan adalah bidang kuasa, langkah-langkah perlu diambil dalam menangani isu ini serta pelan tindakan bersepadu pengimportan daging dan produk daging,” katanya.

Ujarnya, perbincangan tersebut akan diadakan pada 5 Januari ini, jam 11 pagi.

Pelan tindakan kedua, jelasnya, adalah perbincangan dengan pengimport dan pengedar daging serta produk daging yang turut membabitkan penyertaan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta JKDM.

Abdul Aziz berkata ia bagi membincangkan isu atau masalah dihadapi pengimport dan pengedar, memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi SOP pengimportan dan pengedaran serta menggalakkan permohonan SPHM melalui skim logistik (pergudangan).

“Perbincangan meja bulat itu bagi mensyaratkan pemegang SPHM mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan). Perbincangan ini akan diadakan pada 11 Januari depan,” katanya.

Beliau yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKIM itu berkata, langkah seterusnya adalah mempromosi 84 badan pensijilan dan logo halal luar negara di 46 negara yang diiktiraf JAKIM.

“Pengguna boleh mengenal pasti logo halal luar negara diiktiraf JAKIM pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran. Pengimport pula mudah mengenal pasti produk ingin dibawa masuk agar mempunyai sijil halal diiktiraf bagi mengelak kerugian dan keraguan (status halal).

“Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara juga boleh menjadikan logo halal yang diiktiraf ini sebagai rujukan dan panduan dalam memperoleh produk atau mengunjungi premis makanan yang telah dipersijilkan halal di negara berkenaan,” katanya.

Abdul Aziz memaklumkan pelan tindakan keempat adalah mengadakan lawatan pemantauan ke premis pengimport daging, pemegang SPHM dan rumah penyembelihan dengan meningkatkan aktiviti pemeriksaan terhadap pemegang SPHM.

“Pelan seterusnya adalah penambahbaikan SOP Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara sedia ada, antaranya pengkelasan dari segi kepakaran Badan Pensijilan Halal Luar Negara seperti skim kosmetik, farmaseutikal, makanan, minuman dan sebagainya.

“Selain itu, memperkemaskan sistem aplikasi pengesanan produk dipersijilkan halal oleh Badan Pensijilan Halal Luar Negara diiktiraf JAKIM dan mengkaji semula permohonan baharu, pembaharuan dan penarikan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara diiktiraf JAKIM berdasarkan SOP terbaharu,” katanya.

Pelan tindakan keenam, jelasnya, adalah memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sketsa pendek bertujuan menerangkan SOP pengimportan daging dan produk daging ke Malaysia.

Beliau berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan menggalakkan penggiatnya untuk membuat permohonan SPHM agar tiada lagi isu berkaitan penyeludupan daging diragui status halal, tiada logo halal dan tidak diiktiraf JAKIM.