Malaysia Dateline

Jakim di bawah Majlis Raja-raja: Adakah kuasa Menteri Agama terhakis?

Menurut berita yang dilaporkan pada 10/3/2022 dalam portal The Malaysian Insight bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah memutuskan bahawa Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Islam (Jakim) akan diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Raja-Raja. Dengan perubahan itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan menjadi pengerusi bagi Majlis Agama Nasional.

Majlis Agama Nasional adalah badan yang menggantikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (akronim MKI). Sumber wikipedia menyatakan MKI merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di Malaysia. Badan itu ditubuhkan pada 17 Oktober 1968 sebagai satu badan bagi menyelaraskan pentadbiran agama Islam di seluruh negara. Badan itu telah dirasmikan penubuhannya pada 1 Julai 1969, dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Semenanjung Malaysia. Setelah negeri Sabah dan Sarawak diterima menjadi ahli majlis ini pada 17 Jun 1971, nama badan itu telah ditukar kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Jakim di bawah Majlis Raja-raja: Apakah kuasa menteri agama terhakis?
Dr Zulqarnain Lukman

Fungsi utama MKI ialah untuk mengendalikan pentadbiran agama Islam dari peringkat pusat untuk menyelaraskan segala tugas dengan Majlis Agama Islam setiap negeri. Dalam kata lain, MKI adalah badan yang membantu menyeragamkan undang-undang dan pentadbiran berkaitan agama Islam.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan bidang kuasa agama Islam adalah di bawah kuasa Sultan di tiap-tiap negeri. Dewan Undangan Negeri berkuasa untuk meluluskan sebarang perundangan berkaitan agama Islam mencakupi hal ehwal hukum syarak dan pentadbiran agama Islam itu sendiri.

Kekangan yang ada ini menyebabkan agensi Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk memperundangkan apa-apa hal berkaitan Islam kecuali di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Namun, kerajaan Persekutuan melalui Jakim mempunyai peranan yang besar dalam perkembangan agama Islam khasnya peruntukan kira-kira RM1 billion diperuntukkan kepada Jakim untuk menguruskan pentadbiran agama Islam. Hal ini pernah ditimbulkan oleh Dato Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda Umno pada tahun 2015 yang menyatakan bahawa Jakim patut mendapat peruntukan yang lebih banyak.

Jakim di dalam portalnya menerangkan bahawa Jakim mempunyai 3 fungsi utama iaitu penggubalan dan Penyeragaman Undang-Undang Syarak, penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam dan penyelarasan Pentadbiran Islam.

Kini apabila MKI dibubarkan dan digantikan dengan Majlis Agama Nasional maka Jakim yang selama ini di bawah naungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak lagi mempunyai kuasa ke atas badan tersebut jika benar diputuskan sedemikian oleh Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, apa yang menjadi tanda-tanya sekarang apakah peranan Menteri Agama kelak apabila Jakim sudah diletakkan terus di bawah Majlis Raja-Raja. Pastinya kuasa Menteri Agama ke atas Jakim akan menjadi semakin terhakis.

Kalau selama ini Menteri Agama akan dirujuk untuk memutuskan sesuatu perkara berkaitan pentadbiran Jakim seperti perlantikan Ketua Pengarah dan lain-lain perjawatan termasuk agensi-agensi di bawah Jakim maka kali ini nampaknya Menteri Agama sudah kehilangan kuasa tersebut.

Daripada satu sudut, hal ini mungkin nampaknya baik kerana ini akan menjauhkan orang politik daripada institusi agama, namun, ianya tidak menjamin tiada ‘politiking’ akan berlaku kerana ramainya agamawan kelak yang akan menghimpit ‘orang istana’ untuk dilantik ke jawatan tertentu yang pastinya mendapat kuasa dan upah gaji yang lumayan.

Daripada sudut pentadbiran, sedikit sebanyak hal ini akan mengubah struktur dan strata politik. Sebaiknya hal pentadbiran ini diuruskan oleh ahli politik kerana ahli politik ini akan bertanggungjawab kepada Parlimen dan sekiranya ada pihak tertentu yang tidak menjalankan tugas atau berlaku salah laku maka hal tersebut lebih mudah diurus berbanding dengan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak yang tidak bertanggungjawab kepada Parlimen.