JAKIM disaran perluas fungsi media, rancakkan wacana

AMANAH Wilayah Persekutuan berkunjung ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini.

AMANAH Wilayah Persekutuan (AWP) menyarankan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanfaatkan sepenuhnya peranan media sosial dan media utama sedia ada bagi menangkis segala persepsi negatif yang terpalit kepada institusi tersebut selama ini.

Naib Pengerusinya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, JAKIM juga harus mengambil pendekatan lebih terbuka melalui ruang wacana bebas untuk menjawab pelbagai isu yang timbul dalam khalayak masyarakat hari ini.

“AWP juga menawarkan NUNJI (Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah) sebagai satu platform untuk membantu menjelaskan pelbagai isu berkaitan umat Islam di negara ini selain menjadi medan dakwah yang berkesan,” ujarnya berkongsikan intipati kunjungan hormat AWP di JAKIM baru-baru ini.

Tegasnya, JAKIM tidak mungkin dimansuhkan seperti mana tuduhan sesetengah pihak lantaran tanggungjawab dan bidang tugas besar yang digalas institusi itu.

“Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah (JAKIM) sangat setuju supaya JAKIM dijenamakan semula atau dibuat penambahbaikan demi kemajuan Islam yang lebih progresif di Malaysia, selain dapat menepis segala tanggapan atau persepsi negatif masyarakat terhadap JAKIM.

“Beliau (Datuk Mohamad Nordin Ibrahim) telah pun berjumpa dan berbincang dengan PM dan TPM berhubung perkara ini, dan bersedia mengikut arahan dan polisi yang akan digariskan oleh kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Menurutnya, kunjungan disertai sembilan delegasi AWP di pejabat Datuk Nordin di Aras 8, Blok A Kompleks Islam Putrajaya itu susulan siri ziarah mahabbah AWP ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 4 Jun lalu.

Untuk rekod, Datuk Nordin baharu memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah JAKIM bermula 1 Ramadhan lalu.

Persepsi negatif

Mengulas lanjut, Zamri memberitahu Datuk Nordin turut memaklumkan tentang belanjawan tahunan JAKIM lebih RM800 juta setahun yang digunakan untuk urus tadbir pelbagai hal berkaitan hal ehwal Islam di seluruh negara.

Antaranya, termasuk guru dan kakitangan KAFA, Darul Quran, ILIM, Hab Halal, masjid-masjid, para Imam dan bilal serta segala urusan dakwah lain sesuai dengan mottonya “Melebar Risalah, Menyantuni Ummah”.

“JAKIM juga terlibat secara langsung dalam proses penyelarasan dan penyeragaman undang-undang serta peraturan-peraturan berkaitan hal ehwal Islam antara negeri-negeri,” kata Zamri.

Untuk rekod, JAKIM yang ditubuhkan hasil keputusan Majlis Raja-Raja pada 1968 dan mula beroperasi tiga tahun selepas itu sekarang mempunyai 1,404 kakitangan di seluruh negara dengan 20 Bahagian/Portfolio utama.

“Pelbagai soalan dan isu semasa dibangkitkan delegasi AWP dalam pertemuan ini. Antaranya, persepsi negatif kononnya JAKIM diguna untuk kepentingan politik parti tertentu, bajet tahunan yang besar, isu pengharaman buku/naskhah, kurangnya kerjasama dengan golongan muda serta pelbagai kelompok masyarakat Islam di luar sana.

“Di akhir perjumpaan, delegasi AWP dibawa melawat dua studio rakaman bagi program keagamaan termasuk pelbagai rancangan agama melibatkan orang Cina dan India Muslim.

“JAKIM telah diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan rancangan agama yang kemudiannya diberikan secara percuma kepada RTM untuk ditayangkan,” tambah Zamri lagi.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS